PETALING JAYA, 30 Sept (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkaitan status tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ekoran isu dokumentasi.
Presiden FAM Datuk Ab Ghani Hassan berkata pertemuan itu penting bagi mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai sebarang persoalan memandangkan perkara berkaitan kewarganegaraan dan pengeluaran pasport berada di luar bidang kuasa badan induk bola sepak itu.
“Berhubung dengan status pasport tujuh pemain warisan berkenaan, saya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri. Perkara berkaitan kewarganegaraan dan pengeluaran pasport adalah di luar bidang kuasa FAM.
“Jadi, kami semua akan mendapatkan penjelasan dan bekerjasama rapat dengan KDN bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 di Wisma FAM di sini, hari ini.
Ab Ghani berkata menegaskan tujuh pemain berkenaan ketika ini tidak boleh mewakili skuad kebangsaan berikutan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak membenarkan mereka beraksi untuk Malaysia.
Terdahulu ketika menyampaikan ucapan pembukaan, Ab Ghani bagi pihak FAM turut memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia.
Beliau berkata berkata permohonan maaf itu adalah merujuk kepada keadaan yang telah dilalui oleh seluruh penyokong bola sepak negara susulan kemelut yang berlaku dalam sukan bola sepak negara.
Beliau memberi komitmen perkara seumpama itu tidak akan dibiarkan berulang sepanjang tempoh kepimpinannya.
“Saya ingin memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia atas isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lepas justeru, saya memberi komitmen sepanjang tempoh menerajui FAM, isu sedemikian tidak akan dibiarkan berulang lagi,” katanya.
Pada 26 Sept 2025, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain warisan negara didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.
Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di sini pada Jun lepas.
Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Terdahulu, mesyuarat hari ini turut memutuskan pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi 11 jawatankuasa tetap FAM untuk memastikan setiap bidang pengurusan dan pembangunan bola sepak negara dapat digerakkan.
Antara jawatankuasa yang dilantik adalah Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, Jawatankuasa Pertandingan, Jawatankuasa Undang-Undang, Jawatankuasa Pengadil, Jawatankuasa Status Pemain, Jawatankuasa Media dan Pemasaran serta Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan.
Ab Ghani berkata pelantikan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kepimpinan baharu FAM untuk memperkemas pentadbiran badan induk itu, selain memastikan setiap jawatankuasa dapat menjalankan tugas masing-masing dengan lebih berkesan.
-- BERNAMA