KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan beberapa syor penambahbaikan tatakelola kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan dua anak syarikatnya bagi memperkemas tadbir urus pelaksanaan dua projek di bawah agensi berkenaan.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua anak syarikat terbabit ialah FIC Supplies Sdn Bhd (FIC Supplies) dan FIC Integrated Property Management (FIC IPM).
Menurut SPRM, syor dikemukakan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) itu melibatkan pelaksanaan Projek Agro Park (Komersil) dan Projek Rintis Urus Niaga Jual Beli Lembu.
Antara cadangan dikemukakan ialah penstrukturan semula peranan FIC IPM sebagai panel penasihat bebas bagi memastikan setiap pandangan dan nasihat diberikan secara objektif, telus serta bebas daripada sebarang konflik kepentingan.
“BPT SPRM turut mengesyorkan FELDA memperkukuh tatacara pengurusan perolehan dan urus niaga melalui pewujudan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus berkaitan kaedah perolehan secara ‘Request for Proposal’ (RFP) dan perubahan kerja (Variation Order),” menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan langkah itu penting bagi memastikan proses terbabit dilaksanakan secara konsisten, sistematik dan telus, selaras dengan peraturan serta kawalan dalaman yang ditetapkan.
Cadangan penambahbaikan itu turut merangkumi prosedur sedia ada berkaitan urusan jual beli oleh FIC Supplies bagi meningkatkan kawalan terhadap pelaksanaan urus niaga syarikat berkenaan.
Kesemua syor itu dibentangkan Timbalan Pengarah I BPT SPRM Maznah Che Muda di Menara FELDA di sini, Isnin lepas.
Sementara itu, FELDA dan anak syarikatnya menyambut baik cadangan berkenaan sebagai usaha meningkatkan ketelusan dan integriti agensi, selain menyatakan komitmen untuk melaksanakannya secara berperingkat.
Persetujuan terhadap syor itu dimeterai menerusi Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani Timbalan Pengarah Besar Servis Korporat FELDA Muhammad Fitri Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FIC Syed Fadil Syed Sofi dan Pengarah BPT SPRM Datuk Mohd Zaki Hassan.
-- BERNAMA