KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Pelumba Mercedes-AMG PETRONAS Formula One, George Russell tidak terlalu gusar dengan keadaan jerebu yang melanda Malaysia ketika ini, sambil menyifatkannya sebagai cabaran sama yang perlu dihadapi semua pelumba menjelang Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.
Pelumba Britain itu berkata cuaca panas dan lembap yang sinonim dengan Malaysia sememangnya antara cabaran utama perlumbaan di Sepang, malah keadaan berkenaan dijangka menjadikan saingan kali ini lebih menarik.
“Ya, saya rasa ia sama untuk semua orang dan cuaca panas serta kelembapan di Malaysia sememangnya sentiasa menjadi cabaran. Tetapi, itu sebahagian daripada keseronokan berlumba di sini dan juga cabarannya. Ia sama untuk semua,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Russell berkata penampilan sulungnya dalam perlumbaan F1 di Sepang bukanlah sesuatu yang asing sepenuhnya kerana litar berkenaan merupakan antara trek kegemarannya ketika kecil dan sering menjadi pilihannya ketika bermain permainan perlumbaan menerusi PlayStation.
Justeru, Russell berharap pengalaman ‘berlumba’ di Sepang menggunakan konsol permainan ketika zaman kanak-kanak sedikit sebanyak dapat membantunya apabila beraksi di litar sebenar hujung minggu ini.
Sementara itu, rakan sepasukannya Kimi Antonelli menjangkakan pengurusan tayar menjadi antara cabaran terbesar di Sepang berikutan permukaan litar yang sudah berusia dan bersifat kasar, sekali gus berpotensi menyebabkan kadar kehausan tayar tinggi.
Pelumba Itali itu berkata keadaan cuaca Malaysia yang sukar diramal juga boleh menambah kesukaran sepanjang hujung minggu perlumbaan, terutama dengan kemungkinan hujan.
“Dari segi tenaga, saya rasa ia tidak terlalu membebankan, tetapi tayar pasti menjadi cabaran besar. Permukaan litar ini sudah lama dan sangat kasar terhadap tayar, jadi menarik untuk melihat bagaimana keadaannya nanti, tetapi sudah pasti kadar kehausan akan sangat tinggi.
“Dari segi cuaca pula, ia pasti sukar diramal. Ada kemungkinan hujan, tetapi sejak dua hari lepas pun hujan diramalkan namun ia tidak berlaku, jadi kita lihat nanti,” katanya.
Antonelli berkata kemungkinan hujan lebat turut bakal menguji pelumba memandangkan mereka mempunyai pengalaman terhad memandu jentera semasa dalam keadaan trek basah.
“Daripada apa yang saya dengar, apabila hujan di sini, ia turun dengan agak lebat, jadi kami akan cuba bersedia menghadapi apa sahaja keadaan.
“Ini juga kali pertama kami akan berada di litar menggunakan tayar basah. Jika keadaan itu berlaku, ia akan menjadi cabaran besar buat semua kerana kami mempunyai pengalaman yang sangat sedikit memandu jentera ini dalam keadaan basah,” katanya.
Dalam kedudukan F1 musim ini, Antonelli dan Russell kini masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua dalam carta pelumba.
-- BERNAMA