KUANTAN, 30 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki warga Afghanistan maut ketika menjalani aktiviti Discovery Scuba Diving (DSD) di perairan Kampung Salang, Pulau Tioman, Rompin, hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mangsa Mohammed Seyar Musazay, 55, yang menetap di California, Amerika Syarikat disahkan meninggal dunia kira-kira 12.40 tengah hari selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama anak perempuannya berusia 24 tahun dari Kuala Lumpur sedang bercuti di Pulau Tioman dan menginap di sebuah chalet di Kampung Salang sejak 26 Sept hingga 3 Okt ini.
"Pada kira-kira 11 pagi, mangsa bersama anak perempuannya dan seorang jurulatih skuba telah keluar untuk menjalani aktiviti DSD.
"Sebelum memulakan aktiviti, mangsa dan anaknya diberikan taklimat berkaitan pengendalian peralatan selam sebelum dibawa ke pantai untuk latihan praktikal dan seterusnya ke kawasan laut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharif Shai berkata aktiviti selaman berlangsung kira-kira 20 minit pada kedalaman enam meter dan mangsa pada awalnya dilihat berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah.
“Ketika aktiviti hampir selesai, jurulatih membantu anak mangsa naik ke permukaan terlebih dahulu dari kedalaman kira-kira tiga meter sebelum melihat mangsa terkapai-kapai naik ke permukaan pada jarak kira-kira tiga meter daripadanya.
"Jurulatih kemudian mendekati mangsa dan mendapati alat pernafasan (regulator) telah tercabut daripada mulut mangsa serta mangsa tidak sedarkan diri," katanya.
Sementara itu, beliau berkata mangsa kemudiannya dibawa ke pantai sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek dengan menaiki bot orang kampung, sebelum disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa dibawa keluar ke Teluk Gading menggunakan bot Polis Marin pada kira-kira 4.50 petang sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk proses bedah siasat,” katanya.
-- BERNAMA