KUALA LUMPUR, Sept 30 (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang membangunkan Platform Rujukan Nasional Maklumat Jalan Raya menerusi inisiatif MyJalan bagi menyatukan data jalan raya melibatkan kerajaan Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta syarikat konsesi lebuh raya.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif itu bertujuan mewujudkan ekosistem data jalan raya nasional yang bersepadu berlandaskan piawaian seragam serta proses pengumpulan data yang lebih tersusun.
“Matlamat kita adalah untuk mempunyai satu gambaran menyeluruh mengenai jalan raya di Malaysia, dengan satu data, satu piawaian dan satu ekosistem data jalan raya nasional,” katanya pada sidang media sempena MyASEAN Roads and Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Mohd Hadzmir Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infrastruktur) Mohd Shahrom Ahmad Saman, Presiden Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) Azmee Nin dan Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n Go Sdn Bhd S. Praba.
Sebelum menyempurnakan majlis penutupan MyARTTE 2026, Nanta mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Agenda Data Nasional MyJalan serta menyaksikan pertukaran dokumen Deklarasi Data Aset Jalan (DDJ) antara KKR dengan kerajaan negeri yang mengambil bahagian.
Nanta berkata setakat ini, lebih separuh daripada negeri telah menyertai inisiatif berkenaan, termasuk Pulau Pinang yang menandatangani perjanjian itu hari ini.
Beliau yakin lima negeri yang masih belum menyertainya akan berbuat demikian selepas diberi masa untuk melengkapkan proses berkaitan.
Menurutnya antara keutamaan segera dalam pelan tindakan itu ialah memperjelas sempadan pemilikan jalan menerusi pemetaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang seragam.
Bagi memastikan integriti data, pemilik aset jalan raya perlu memastikan pangkalan data masing-masing lengkap dan dikemas kini secara berkala berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI), pelan tindakan serta garis masa yang ditetapkan.
Nanta berkata data yang tepat amat penting bagi membolehkan keputusan dibuat berasaskan maklumat, sekali gus meningkatkan penyelenggaraan jalan, mengoptimumkan perancangan serta mempercepat tindakan terhadap aduan orang ramai, termasuk usaha mengurangkan kesesakan dan mencegah kemalangan maut.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama lebih erat merentas sektor bagi mengelakkan agensi bekerja secara silo, khususnya dalam perkara melibatkan pertindihan bidang kuasa.
Bekiau berkata orang ramai juga perlu diberikan maklumat jelas mengenai rangkaian jalan yang saling berhubung supaya perjalanan dapat dilakukan dengan lebih selamat dan selesa.
-- BERNAMA