Am 30/09/2026 06:13 PM

PMKS Dikecualikan Daripada Kenaikan Gaji Minimum Baharu Buat Masa Ini - Sim

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PMKS Dikecualikan Daripada Kenaikan Gaji Minimum Baharu Buat Masa Ini - Sim
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERELIHARA

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Jemaah Menteri bersetuju agar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kemampuan sektor berkenaan yang berdepan tekanan kos operasi serta cabaran ekonomi semasa.

“Kerajaan akan mengambil pendekatan lain untuk membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif agar kenaikan gaji bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata isu gaji minimum itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Sim berkata Kabinet bersetuju bahawa gaji rakyat perlu terus ditingkatkan namun perniagaan tempatan khususnya PMKS juga perlu dilindungi.

Beliau berkata kerajaan mahu memastikan kebajikan pekerja terbela dengan gaji yang lebih wajar manakala PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan.

Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata kerajaan belum membuat keputusan berhubung kadar baharu gaji minimum termasuk dakwaan ia bakal dinaikkan kepada RM2,000 atau RM2,100 dan RM2,200.

Ramanan berkata sebarang pengumuman mengenai kadar baharu itu hanya akan dibuat selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media sebelum ini melaporkan Anwar memaklumkan kadar gaji minimum RM1,700 dijangka dinaikkan, dengan perinciannya akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Okt ini.

-- BERNAMA