Am 30/09/2026 06:07 PM

Fahmi Minta MCMC Perjelas Maklum Balas Meta Isu Godam Whatsapp

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fahmi Minta MCMC Perjelas Maklum Balas Meta Isu Godam Whatsapp
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan kenyataan untuk memperjelas maklum balas Meta mengenai isu penggodaman serta penyahaktifan akaun WhatsApp.

Beliau bagaimanapun berkata masih belum menerima maklumat terkini hasil perbincangan antara MCMC dan Meta berhubung isu berkenaan.

“Saya belum sempat mendapatkan maklumat terkini hasil daripada perbincangan... pihak Meta telah meminta (tempoh) hingga 3 petang pada hari Isnin yang lalu untuk menghantar maklum balas mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak MCMC mengenai penggodaman dan juga penyahaktifan akaun WhatsApp.

“... saya akan minta supaya pihak MCMC mengeluarkan kenyataan hasil daripada maklum balas daripada pihak Meta itu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan MCMC mengambil maklum kebimbangan awam berhubung isu akaun WhatsApp digodam, disekat atau tidak boleh dicapai.

MCMC memaklumkan pihaknya meneliti aduan diterima dan sudah memajukan kes berkaitan kepada platform Meta untuk penjelasan serta tindakan selanjutnya.

Suruhanjaya itu turut menjelaskan isu pengambilalihan akaun atau digodam dan penyekatan akaun ialah dua perkara berbeza.

Menurut MCMC, akaun yang digodam pihak tidak bertanggungjawab berisiko disalahgunakan untuk aktiviti penipuan, spam, atau pelanggaran terma perkhidmatan WhatsApp, dan akhirnya menyebabkan akaun berkenaan disekat pihak platform.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menghubungi alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi membincangkan kaedah meningkatkan penglibatan mereka dalam perbincangan kerajaan.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata ia susulan pertemuan Anwar bersama dengan alumni UiTM baru-baru ini yang menghimpunkan ramai individu berpengalaman termasuk dalam sektor korporat.

-- BERNAMA