LABUAN, 30 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) hari ini membongkar kes disyaki kecurian elektrik melibatkan tiga premis di sini yang menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak RM80,000.
Pengarah Pematuhan dan Penguatkuasaan ST Ismail Zaili berkata operasi bersepadu Ops Spark 2026 itu mendapati premis pertama disyaki terlibat dalam kecurian elektrik selama kira-kira dua tahun manakala premis kedua dan ketiga selama tiga tahun.
“Premis terlibat disyaki mengusik meter atau peralatan elektrik yang menyebabkan kerugian kepada penyedia utiliti itu,” katanya pada sidang media selepas operasi di sini hari ini.
Beliau berkata kecurian elektrik boleh menjejaskan kebolehpercayaan bekalan, menyebabkan gangguan bekalan dan menimbulkan risiko keselamatan kepada orang ramai.
Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan jika sabit kesalahan, premis domestik boleh dihukum denda antara RM1,000 hingga RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi premis bukan domestik, kesalahan pertama boleh didenda antara RM20,000 hingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ismail turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengusik meter atau peralatan elektrik milik penyedia utiliti serta melaporkan sebarang gangguan melibatkan meter atau penyambungan haram kepada ST atau Sabah Electricity.
“Pemilik premis juga dinasihatkan agar berhati-hati apabila menyewakan hartanah mereka dan memantau aktiviti yang dijalankan oleh penyewa,” katanya.
Beliau juga menggalakkan pemilik premis untuk menandatangani perjanjian Penukaran Nama Penyewa bekalan elektrik dengan Sabah Electricity bagi mengelakkan daripada dipertanggungjawabkan atas sebarang penggunaan elektrik secara haram di premis sewaan mereka.
Ismail berkata aktiviti penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta melindungi pengguna daripada bahaya yang berpunca daripada penggunaan elektrik.
Orang awam boleh melaporkan sebarang kes disyaki kecurian elektrik kepada ST menerusi talian 03-8870 8800 atau e-mel eaduan@st.gov.my.
-- BERNAMA