Am 30/09/2026 04:03 PM

JBPM Pahang Gempur Empat Premis Bilik 'Sarang Burung' Di Kuantan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JBPM Pahang Gempur Empat Premis Bilik 'Sarang Burung' Di Kuantan

KUANTAN, 30 Sept (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menggempur empat premis telah diubah suai menjadi bilik sewa padat menerusi Operasi Bersepadu Premis Sarang Burung di sekitar bandar raya Kuantan, hari ini.

Pengarahnya Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata operasi itu bertujuan memeriksa aspek keselamatan kebakaran di premis diubah suai secara tidak sah, memastikan pematuhan terhadap Akta Perkhidmatan Bomba 1988 serta menghapuskan risiko struktur yang boleh membahayakan nyawa penghuni.

“Berdasarkan operasi ini, kita turut mengeluarkan notis kepada empat pemilik premis, khususnya rumah kedai dan pejabat yang dijadikan tempat penginapan.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dilakukan, terutama dari segi kepadatan penghuni 20 hingga 30 orang, yang tidak sesuai dijadikan tempat tinggal, khususnya apabila disewakan kepada warga asing dan pelajar,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata pemeriksaan kali kedua akan dijalankan bagi memastikan pemilik premis mematuhi peraturan ditetapkan demi keselamatan penghuni.

Difahamkan, sebuah premis yang diperiksa telah mengubah suai dua tingkat ruang pejabat bagi menyediakan 20 bilik sewa dengan kadar sewaan RM300 sebulan.

Mohd Razam berkata dalam operasi sama, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menahan 15 warga asing, termasuk dua wanita, dari Indonesia, Pakistan, Myanmar, India dan Bangladesh.

Beliau berkata mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Selain JBPM dan JIM, operasi itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

-- BERNAMA