KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menembusi kelompok 301-325 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings (WUR) 2027, meningkat berbanding kelompok 301-350 pada tahun sebelumnya.
UKM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pencapaian itu meletakkan universiti berkenaan sebagai Universiti Awam kedua terbaik di Malaysia.
“THE WUR merupakan antara penarafan universiti antarabangsa yang menilai institusi berorientasikan penyelidikan berdasarkan lima bidang utama, iaitu pengajaran, persekitaran penyelidikan, kualiti penyelidikan, industri dan pandangan antarabangsa.
“Bagi edisi 2027, UKM menunjukkan peningkatan dalam bidang Persekitaran Penyelidikan, Pandangan Antarabangsa dan Industri,” menurut kenyataan itu.
Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata penarafan antarabangsa merupakan antara petunjuk yang membantu universiti menilai pencapaiannya dalam landskap pendidikan tinggi global.
“Penarafan ini penting kerana ia memberi gambaran tentang kedudukan UKM di peringkat antarabangsa. Ia juga membantu kita untuk melihat pencapaian UKM berbanding universiti lain.
“Dengan pencapaian ini, kedudukan UKM di peringkat global akan lebih menyerlah sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan rakan akademik dan industri,” katanya.
Sufian berkata meskipun penarafan bukan satu-satunya ukuran pencapaian sesebuah universiti, UKM terus memberi perhatian kepada pelbagai bentuk sumbangan akademik dan kepakaran yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negara.
“Pencapaian tersebut adalah hasil usaha berterusan warga UKM dalam meningkatkan prestasi universiti dalam pelbagai bidang, khususnya penyelidikan, pengajaran, jaringan antarabangsa dan hubungan dengan industri,” katanya.
Beliau berkata pencapaian itu turut seiring dengan aspirasi TEKAD57, iaitu kerangka strategik UKM bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi universiti secara menyeluruh.
“Peningkatan dalam penarafan ini dilihat sebagai satu perkembangan positif dan pada masa yang sama, sebagai ruang untuk kita melihat apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik di masa hadapan,” katanya.
-- BERNAMA