Dunia 30/09/2026 04:11 PM

Backpack Muncul Juara Beruang Gemuk Kegemaran Alaska

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Backpack Muncul Juara Beruang Gemuk Kegemaran Alaska
Gambar fail: Imej yang disediakan oleh National Park Service ini menunjukkan beruang 32 Chunk di Taman Negara Katmai, Alaska, pada 19 September 2024. (E. Johnston/National Park Service via AP, File)

WASHINGTON, 30 Sept (Bernama-dpa) -- Seekor beruang perang bernama Backpack dipilih sebagai pemenang pada Selasa dalam pertandingan tahunan mencari beruang gemuk kegemaran ramai di Taman Negara Katmai Alaska, Amerika Syarikat (AS) lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Backpack menerima 103,344 undian dalam pertandingan Fat Bear Week, berbanding 98,253 undian untuk saingan terdekatnya, seekor beruang betina yang dikenali sebagai 910.

Pengawal hutan berkata tidak seperti kebanyakan beruang jantan dewasa yang besar, Backpack kurang agresif terhadap pesaingnya.

"’Dia’ akan berdiri sendiri apabila perlu, tetapi ‘dia’ lebih suka secara tenang menggunakan kekuatannya untuk mendapatkan akses ke tempat memancing pilihan. Saiz badannya menunjukkan bahawa strategi itu berkesan."

Nama Backpack diilhamkan daripada tabiat memanjat belakang ibunya apabila anak beranak itu berenang di sungai.

Ibu beruang jantan (Holly) itu merupakan juara Beruang Gemuk 2019.

Pertandingan tahun ini menandakan kali ke-12 taman di barat daya Alaska itu menganjurkan pertandingan tersebut.

Sepuluh beruang betina dan enam beruang jantan bertanding merebut gelaran itu dalam saingan sengit selama seminggu.

Lebih 2.5 juta undi diperoleh seluruh dunia.

Peminat boleh menonton calon menangkap ikan salmon menerusi kamera web dan melihat foto sebelum dan selepas yang menunjukkan berat badan haiwan itu telah meningkat.

Kandungan lemak akan membantu beruang bertahan dalam hibernasi sepanjang musim sejuk tanpa makanan.

Pertandingan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang ekosistem dan habitat lebih 2,000 beruang perang di rantau ini dan menarik perhatian terhadap bahaya yang dihadapi haiwan itu seperti perubahan iklim.

-- BERNAMA-dpa