GEORGE TOWN, 30 Sept (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) menyita sebanyak 34 ekor ikan Flowerhorn dalam operasi penguatkuasaan di sini semalam susulan aduan berhubung kegiatan menjual ikan larangan menerusi media sosial.
DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi melalui Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (CKOPP) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut menahan seorang individu disyaki terbabit dalam kegiatan tersebut.
”Operasi dijalankan hasil pemantauan terhadap aktiviti penjualan ikan larangan secara dalam talian dan melibatkan 10 anggota CKOPP dan tiga anggota polis,” menurut hantaran di Facebook Jabatan Perikanan Pulau Pinang hari ini.
Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, dsb bagi Ikan) 1990 selaras dengan Akta Perikanan 1985 [Akta 317].
DOF memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti penjualan ikan larangan termasuk melalui platform media sosial bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang selain melindungi sumber perikanan serta ekosistem akuatik negara.
-- BERNAMA