GEORGE TOWN, 30 Sept (Bernama) -- Penutupan jangka masa panjang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini akan dilaksanakan bermula esok hingga 31 Ogos 2029 bagi kerja-kerja projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di kawasan berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memaklumkan penutupan 24 jam sehari selama 1,065 hari itu bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja awal projek itu yang melibatkan kerja cerucuk dan aktiviti pembinaan yang berkaitan.
"Penutupan itu akan melibatkan laluan paling kanan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dari Gat Lebuh Cecil hingga Gat Lebuh Noordin, bagi kedua-dua arah dan laluan paling kanan di persimpangan Gat Lebuh Cecil (bagi kedua-dua arah.
"Ini termasuk laluan untuk belok kanan ke Gat Lebuh Cecil dan sebagai alternatif pengguna jalan raya boleh menggunakan lorong kanan yang dibuka untuk membelok kanan ke Gat Lebuh Cecil, namun laluan lain akan kekal dibuka untuk laluan trafik," menurut kenyataan itu.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk berhati-hati ketika melalui kawasan itu dan papan tanda, kon-kon trafik serta pengawal bendera akan ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membantu melancarkan kawalan trafik dan keselamatan pengguna kenderaan di laluan tersebut.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan memaklumkan laluan basikal dan pejalan kaki sedia ada yang bermula dari stesen minyak Shell, Jalan Perusahaan Jelutong sehingga Restoran Ikan Sembilang, di sini akan ditutup bermula esok.
Menurutnya, langkah itu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja pembinaan tiang projek LRT Laluan Mutiara.
MBPP menjelaskan tempoh penutupan adalah selama lebih tiga tahun iaitu sehingga 31 Okt 2029 dan tindakan itu bagi memastikan kerja-kerja pembinaan dapat dilaksanakan dengan selamat, teratur dan lancar.
"Penutupan itu juga adalah bagi menjaga keselamatan pengguna laluan dan pihak yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan di kawasan tersebut. Kerjasama dan perhatian orang ramai terhadap perkara tersebut amatlah dihargai," menurut kenyataan itu hari ini.
-- BERNAMA