IPOH, 30 Sept (Bernama) -- Kementerian Digital meneruskan agenda pembudayaan digital bagi peringkat komuniti melalui program Minggu Digital Kementerian Digital 2026 (MDKD2026) Zon Utara hari ini yang diadakan di Dewan Bandaran Teluk Intan, kira-kira 93 kilometer dari sini.
Dalam kenyataan Kementerian Digital memaklumkan pelaksanaan MDKD2026 secara berperingkat di seluruh negara bertujuan mendekatkan agenda digital kepada masyarakat.
"Bagi program di Teluk Intan, tumpuan khusus diberikan kepada golongan warga emas serta usahawan mikro dan perniagaan kecil menerusi pengisian berkaitan peningkatan literasi digital, kesedaran penipuan dalam talian, pemanfaatan platform digital perniagaan, serta pendedahan awal penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara selamat dan bertanggungjawab.
"Pelaksanaan program ini turut mendapat sokongan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) sebagai rakan strategik dalam memobilisasi dan menyemaikan kesedaran digital dalam kalangan komuniti setempat," menurut kenyataan itu.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital, Ma Sivanesan dan turut dihadiri Yang Dipertua MPTI Mohd Faizal Md Kasim.
Dalam ucapan perasmian, Sivanesan berkata kes penipuan dalam talian kini semakin menyasarkan golongan rentan, khususnya warga emas.
Beliau berkata justeru melalui MDKD2026, pihaknya mahu memastikan masyarakat bukan sahaja celik digital, malah juga berupaya melindungi diri dan keluarga daripada ancaman tersebut di samping memanfaatkan teknologi demi meningkatkan kesejahteraan hidup serta peluang ekonomi.
Kementerian Digital turut memaklumkan MDKD2026 yang berlangsung selama sehari itu turut memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai modus operandi penipuan dalam talian serta langkah perlindungan maklumat peribadi dan kewangan.
MDKD2026 juga memberikan pendedahan kepada golongan usahawan tempatan mengenai teknik penghasilan kandungan dan pemanfaatan platform digital untuk pemasaran serta e-dagang.
Selain itu, orang ramai juga diberikan pendedahan mengenai asas dan potensi AI serta panduan penggunaan teknologi tersebut secara selamat, beretika, dan bertanggungjawab.
Menurut kenyataan itu pelbagai agensi dan rakan strategik menyediakan pameran serta khidmat nasihat secara terus berkaitan ekosistem digital kepada masyarakat Teluk Intan antaranya Jabatan Digital Negara, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, MyDIGITAL Corporation, Digital Nasional Bhd, AI Malaysia Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan MYFutureJobs.
"Pendekatan ini menjadikan MDKD2026 Teluk Intan sebagai platform interaksi komuniti yang merangkumi literasi digital, kesedaran penggunaan teknologi secara selamat, pendigitalan ekonomi, dan kemasyarakatan.
"Kerajaan MADANI kekal komited memperkukuh literasi dan keyakinan masyarakat dalam menggunakan teknologi, termasuk mempersiapkan komuniti untuk memanfaatkan teknologi baharu seperti AI secara selamat dan beretika seterusnya memacu transformasi Malaysia ke arah Negara AI 2030," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA