Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Biarpun peminat sudah lama menantikan kemunculan semula Datuk Francissca Peter, penyanyi legenda itu tidak mahu terburu-buru menghasilkan karya baharu semata-mata untuk memenuhi tuntutan industri.
Sebaliknya, pelantun lagu Sekadar Di Pinggiran itu mahu memastikan setiap lagu yang dipilih benar-benar berkualiti dan mempunyai jiwa, selari dengan prinsipnya sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni.
Mengakui dirinya seorang yang cerewet dalam soal pemilihan lagu, Francissca berkata pengalaman luas dalam industri membuatkan beliau lebih berhati-hati sebelum menerima sesebuah karya.
“Saya mengaku memang seorang yang memilih dan sangat cerewet. Saya tidak mahu memberikan hasil karya sekadar ala kadar, sebaliknya mahukan kualiti yang terbaik
“Walaupun sedar permintaan ini agak tinggi, saya mahu berikan yang terbaik buat peminat yang sentiasa setia menyokong saya dari dulu hingga kini," katanya kepada Bernama pada program ShowBuzz terbitan Bernama Radio hari ini.
Penyanyi veteran berusia 65 tahun itu berpandangan lagu yang baik bukan sekadar memiliki melodi menarik, tetapi turut perlu mempunyai cerita dan mampu menyentuh emosi pendengar.
Prinsip itu antara yang membuatkan beliau begitu tersentuh ketika kali pertama mendengar lagu Maaf Ku Pinta ciptaan Chevy Amry sehingga menitiskan air mata, dan tidak berfikir panjang untuk merakamkan lagu tersebut pada 2023.
Dalam perkembangan lain, juara Anugerah Juara Lagu 1986 itu turut merancang sebuah lagu berentak rancak (up-tempo) yang membawa mesej muhibah serta perpaduan, berbeza daripada karya balada yang sinonim dengannya.
“Lagu berkenaan masih dalam proses penambahbaikan dan belum mempunyai judul rasmi. Karya ini mengangkat mesej kasih sayang sesama masyarakat tanpa mengira kaum, malah memasukkan elemen bahasa Cina dan India bagi menguatkan mesej perpaduan yang ingin disampaikan.
“Perancangan comeback (kemunculan semula) masih di peringkat awal, namun beberapa lagu sudah berada dalam simpanan,” katanya.
Francissca juga sentiasa terbuka untuk berduet dengan artis generasi baharu serta pelbagai genre, dan antara penyanyi dikaguminya ialah Aisha Retno, Aina Abdul, Misha Omar, Mimi Fly dan Santesh.
-- BERNAMA