Am 30/09/2026 03:50 PM

MARA Sasar Jualan Usahawan Automotif Bumiputera RM1 Bilion Tahun Depan - Asyraf Wajdi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MARA Sasar Jualan Usahawan Automotif Bumiputera RM1 Bilion Tahun Depan - Asyraf Wajdi
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (empat, kanan) menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran MARA Automotive Ecosystem (MATEC 2026) di Bangunan MARA, hari ini.

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan nilai jualan usahawan automotif Bumiputera di bawahnya mencecah RM1 bilion pada tahun hadapan.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sasaran itu berdasarkan prestasi memberangsangkan menerusi penganjuran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) serta kejayaan melahirkan usahawan berdaya saing menerusi pelbagai program kerjasama strategik bersama dengan pihak industri.

"Setakat ini MARA telah berjaya melahirkan 534 usahawan automotif yang mewakili 15.3 peratus daripada keseluruhan penglibatan ekosistem automotif Bumiputera di negara ini.

"Kita juga telah menawarkan lebih 2,400 peluang pekerjaan dengan nilai jualan semasa menyumbang melebihi RM690 juta," katanya ketika merasmikan Pra-Pelancaran MATEC 2026 disini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata penganjuran MATEC kali ini menyasarkan kehadiran lebih 300,000 pengunjung berbanding 150,000 pengunjung pada edisi lepas, disokong penyertaan lebih 200 pameran subsektor automotif.

Beliau berkata MARA komited memastikan ekosistem automotif disokong secara komprehensif bermula daripada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hingga program pembiayaan dan pembangunan usahawan berskala tinggi.

"Daripada 345 institusi pendidikan MARA di seluruh negara, 270 daripadanya difokuskan kepada bidang TVET dengan 30 peratus menumpukan khusus kepada sektor automotif.

"Bagi memastikan kebolehtahanan bengkel Bumiputera yang sering terjejas selepas lima hingga lapan tahun beroperasi, MARA menekankan aspek pengurusan perniagaan dan kewangan menerusi program kerjasama strategik seperti Pembangunan Usahawan Automotif MARA-PETRONAS (PUMP)," katanya.

MATEC 2026 dengan tiga aspirasi utama iaitu Future Automotive, TVET Excellence dan Electric Mobility akan bermula pada 27 hingga 29 Nov di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil  bagi mendedahkan usahawan tempatan kepada teknologi futuristik serta pasaran global.

-- BERNAMA