Daripada Kenny Teng Khoon Hock
PATTANI, 30 Sept (Bernama) -- Siri serangan melibatkan letupan bom, pembakaran dan tindakan sabotaj berlaku di beberapa lokasi di Pattani awal pagi tadi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Nong Chik Kol Pol Adul Ngoh berkata dalam insiden itu, satu letupan berlaku di pasar raya Super Store Sri Samai, daerah Nong Chik, pada 12.10 tengah malam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kira-kira enam hingga tujuh suspek bertopeng dan bersenjata menaiki empat motosikal telah bertindak menahan pemandu sebuah trak serta pengawal keselamatan sebelum memasang bom buatan sendiri seberat kira-kira 10 kilogram di hadapan pintu masuk premis.
"Bom itu telah diletupkan dan suspek kemudian membakar trak berkenaan," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Adul berkata sebelum melarikan diri, kumpulan itu turut merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) dan membakar tayar, selain menabur paku di jalan raya Pattani-Hat Yai, dipercayai bagi menyukarkan pihak berkuasa menjejaki mereka.
Beliau berkata pasukan pemusnah bom (EOD) masih menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi mengumpul bahan bukti manakala polis meneruskan usaha mengesan suspek di kawasan sekitar.
Setakat ini tiada kumpulan bersenjata mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.
Insiden terbaharu itu berlaku susulan beberapa siri serangan pembakaran yang menyasarkan bangunan kerajaan, kedai serbaneka, premis perniagaan, kenderaan dan tiang utiliti di Narathiwat, Pattani dan Yala pada 22 Ogos lepas.
Serangan terancang itu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera di Narathiwat selain lebih 50 insiden dilaporkan berlaku di ketiga-tiga wilayah berkenaan sepanjang hujung minggu tersebut.
Berikutan puluhan insiden tersebut, pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung di Narathiwat mulai 10.15 malam pada 22 Ogos hingga 6 pagi pada 23 Ogos.
-- BERNAMA