KUALA KANGSAR, 30 Sept (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) (pelbagai) yang dituduh menyebabkan kematian ibunya yang juga OKU, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.
Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin mengeluarkan perintah itu setelah mendapati tertuduh berusia 15 tahun terbabit mempunyai rekod berkaitan sakit mental dan tidak memahami pertuduhan yang dibaca terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa menyebabkan kematian Nor Ainon Omar, 49, dengan niat hendak menyebabkan kematian, sekali gus melakukan kesalahan mematikan orang dengan tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Cheh Kati dalam daerah Kuala Kangsar pada 2.10 petang, 23 Sept lepas dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzly yang mengendalikan pendakwaan kes itu memohon supaya tertuduh yang tidak diwakili peguam dirujuk ke hospital tersebut untuk pemeriksaan oleh pakar psikiatri.
Ketika prosiding, majistret bertanya kepada remaja itu mengenai individu yang menemaninya ke mahkamah, namun tertuduh hanya berdiam diri
“Awak dengar apa dia (jurubahasa) baca…awak faham ke tak faham? Tadi dengar apa dia cakap, faham ke tak faham?” soal Azlin Zeti, namun tertuduh tetap mendiamkan diri.
“Memandangkan mahkamah dimaklumkan tertuduh ada rekod mental, saya tidak akan merekodkan apa-apa pengakuan. Mahkamah keluarkan perintah (remaja berkenaan) dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani pemeriksaan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” kata majistret itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Okt ini bagi sebutan semula kes dan serahan laporan psikiatri tertuduh.
Pada 23 Sept lepas, seorang wanita OKU berusia 49 tahun ditemukan mati dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Kampung Cheh Kati dalam daerah Kuala Kangsar.
Polis kemudian menahan reman bapa tertuduh yang berusia 44 tahun selama tujuh hari manakala remaja berkenaan direman dua hari bagi siasatan lanjut kejadian tersebut.
-- BERNAMA