Am 30/09/2026 03:39 PM

Lelaki Didakwa Bunuh Rakan Penghuni Pusat Jagaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Didakwa Bunuh Rakan Penghuni Pusat Jagaan
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penghuni pusat jagaan di Tanjung Rambutan, dekat sini, 3 Sept lepas. Bagaimanapun, mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada Soo Kim Keong, 51, yang juga penghuni pusat jagaan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan, memandangkan kes membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mengikut pertuduhan, Kim Keong didakwa membunuh Chong Mun Long, 28, di Pusat Jagaan Grace Home Care Centre, Jalan Chemor, Tanjung Rambutan antara 3 pagi hingga 4 pagi. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

IPOH, 30 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penghuni pusat jagaan di Tanjung Rambutan, dekat sini, 3 Sept lepas.

Bagaimanapun, mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada Soo Kim Keong, 51, yang juga penghuni pusat jagaan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan, memandangkan kes membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Kim Keong didakwa membunuh Chong Mun Long, 28, di Pusat Jagaan Grace Home Care Centre, Jalan Chemor, Tanjung Rambutan antara 3 pagi hingga 4 pagi. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan bagi tujuan pemeriksaan psikiatri, dan menetapkan 30 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan psikiatri tertuduh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kirthana Subramanian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Pada 3 Sept lepas, mangsa dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri di pusat jagaan berkenaan dipercayai selepas berlaku perselisihan faham dengan penghuni lain.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada 17 Sept di Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat jangkitan paru-paru serta kecederaan objek tumpul pada kepala.

-- BERNAMA