KOTA KINABALU, 30 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka mampu membuat penjimatan lebih RM57 juta kos elektrik menerusi pelaksanaan projek tenaga solar di institusi berkenaan.
Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata projek itu dilaksanakan tanpa kos kepada universiti dengan kerjasama sebuah syarikat kejuruteraan tenaga solar komersial bagi tempoh 25 tahun.
Beliau berkata penjimatan itu penting memandangkan bil utiliti UMS kini mencecah kira-kira RM1.7 juta sebulan.
“Ini satu kos yang sangat tinggi. Justeru, dengan penggunaan solar ini, UMS boleh membuat penjimatan yang sangat signifikan dalam urusan tenaga di universiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sistem solar fotovolta UMS di sini, hari ini.
Beliau berkata fasa pertama projek solar berkenaan mampu menjana 10.57 megawatt (MW), manakala kapasiti itu berpotensi ditingkatkan bagi memenuhi keperluan tenaga universiti yang semakin bertambah.
Sementara itu, Kasim dalam ucapannya berkata projek berkenaan telah melalui proses pembangunan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sebelum memasuki operasi komersial pada 18 September lepas.
Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan bahawa Institusi Pengajian Tinggi juga boleh memainkan peranan dalam penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
“UMS mempunyai kedudukan penting dalam pembangunan negeri. Selain melahirkan modal insan dan menjalankan penyelidikan, UMS mempunyai peluang untuk menjadi tapak demonstrasi teknologi dan penyelesaian yang boleh memberikan manfaat kepada Sabah.
“Saya berharap sistem solar dibangunkan ini bukan sekadar dilihat sebagai infrastruktur kampus, tetapi boleh dimanfaatkan sebagai makmal sebenar kepada para pelajar dan para penyelidik untuk mengumpul data, membina kepakaran, menjalankan penyelidikan dan menghasilkan inovasi berkaitan dengan keperluan negeri,” katanya.
Kasim juga mahu kerjasama antara universiti, kerajaan, agensi dan industri melalui projek solar itu terus diperkukuh bagi menggabungkan kepakaran, teknologi dan sumber daripada pelbagai pihak, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam bidang teknologi hijau, pembangunan bakat serta inovasi.
-- BERNAMA