MELAKA, 29 Sept (Bernama) -- Seorang bekas pegawai kanan sebuah jabatan Persekutuan direman empat hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan butiran matan palsu berkaitan pembekalan perkhidmatan pengurusan sebuah program di Melaka bernilai kira-kira RM3,000.
Perintah reman hingga 2 Okt terhadap wanita berumur lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.
Suspek ditahan kira-kira 4 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Melaka.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan terbabit pada Februari 2025 ketika masih bertugas di jabatan itu.
“Suspek dipercayai mengemukakan tuntutan bagi pembekalan perkhidmatan pengurusan walaupun kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan seperti yang dinyatakan dalam permohonan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA