Am 29/09/2026 08:14 PM

Kes Sayed Muzzakkir: Saksi Nafi Tukar Istilah ‘Advisory Fee’ Kepada Komisen

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kes Sayed Muzzakkir: Saksi Nafi Tukar Istilah ‘Advisory Fee’ Kepada Komisen

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa seorang saksi menafikan dakwaan beliau menukar istilah ‘advisory fee’ dalam ‘Project Advisory Agreement’ kepada komisen dalam pernyataan saksinya bagi membolehkan kes membabitkan Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad dikaitkan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB) Wan Azhar Mohamed Yusof, 51, berkata demikian ketika disoal balas peguam Datuk Yaacob Md Sam yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir, bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sayed Amir Muzzakkir berdepan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM350,000 bagi membantu NSB mendapatkan tender projek Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNet (RMPNet) untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yaacob: Saya katakan yang kamu (Wan Azhar) mengubah perkataan ‘advisory fee’ dalam ‘Project Advisory Agreement’ kepada komisen untuk membolehkan kes itu didefinisi di bawah Seksyen 3 Akta SPRM. Awak setuju atau tidak?

Wan Azhar: Tidak setuju.

Dalam pernyataan saksinya, Wan Azhar mengesahkan ‘Project Advisory Agreement’ itu dibuat sebagai perjanjian komisen lima peratus daripada nilai projek yang diminta oleh Sayed Amir Muzzakkir dan Pengarah Urusan Al Khairi Group Berhad Datuk Seri Mohd Khairi Mat Jahya.

Yaacob: Sebagai seorang ahli perniagaan yang lama, veteran dan banyak memasuki kontrak-kontrak, adakah kamu pernah dengar terdapat satu peruntukan di bawah Akta Keterangan yang melarang pihak-pihak mengubah perkataan yang telah dinyatakan dalam perjanjian yang telah dipersetujui?

Wan Azhar: Mungkin.

Yaacob: Saya katakan pada kamu bahawa kamu cuba mengubah terma-terma ini kepada suatu sifat yang lain tentang ‘advisory fee’ dengan mengubah kepada perkataan komisen.

Wan Azhar: Tidak setuju.

Saksi pendakwaan ke-17 itu turut berkata beliau tidak mengetahui sama ada ‘advisory fee’ dan komisen termasuk dalam definisi suapan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai upah membantu NSB memperoleh tender berkenaan bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, masing-masing pada 4 petang, 4 Dis 2020 dan 3.30 petang, 16 Dis 2020.

Sayed Amir Muzzakkir turut dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa di pejabat Nexuscorpgroup Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 7 Okt ini.

-- BERNAMA