KOTA KINABALU, 20 Sept (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan Datuk Karim Bujang, 73, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan, tengah hari tadi.
Berita pemergian Allahyarham disahkan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin ketika dihubungi Bernama.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Brunei, Kimanis kira-kira 5.30 petang selepas disolatkan di Masjid Imam Abdullah di kampung halamannya.
Karim yang berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013 meninggalkan seorang balu Datin Maimun Pg Bagul, dua anak lelaki serta tiga cucu.
Dalam politik, Allahyarham bersama-sama Parti USNO pada 1990 sebelum menyertai UMNO pada 1991 dan berjaya mempertahankan kerusi DUN Bongawan hingga 2013.
Allahyarham kemudian bertanding kerusi Parlimen Kimanis atas tiket Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum 2018 dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis 2020 sebelum meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Tetap parti berkenaan seterusnya menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada 2024.
Sementara itu, Mohamad menyifatkan Karim sebagai “sifu politik' yang banyak membimbing dan mendorong perjalanan politiknya sejak awal penglibatan pada 2004.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata walaupun dinamika politik menyaksikan beliau dan Karim pernah bersaing pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis pada 2020, ikatan silaturahim dan persahabatan antara mereka kekal teguh serta mesra.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menerusi hantaran Facebook turut menzahirkan ucapan takziah dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin politik yang banyak menyumbang bakti serta berjasa besar kepada negeri itu.
"Semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi rasa kehilangan ini dan marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya," kata Hajiji menerusi hantaran itu.
-- BERNAMA