Daripada Siti Fauziah Hasan
NINGDE (China), 20 Sept (Bernama) -- Syarikat teknologi tenaga baharu China, Contemporary Amperex Technology Co Ltd (CATL) melihat Malaysia sebagai pasaran yang mempunyai potensi pertumbuhan besar dalam bateri kuasa.
Jurucakap CATL berkata syarikat itu menganggap ASEAN sebagai pasaran yang besar dengan potensi pertumbuhan masa depan yang cerah.
“Ketika ini, kami sedang aktif mempromosikan kerjasama berkaitan dengan Asia Tenggara,” katanya pada lawatan media ke syarikat itu di sini hari ini.
Mengenai potensi kerjasama dalam sektor bateri, beliau berkata CATL sedang meneroka pelbagai bentuk kerjasama, termasuk melabur atau membina kilang secara bersama di negara-negara ASEAN.
“Sebagai contohnya, kami boleh melabur untuk membina kilang di sana, atau kami boleh bekerjasama membina kilang di negara ASEAN. Kami juga bekerjasama dengan syarikat kereta,” katanya.
Beribu pejabat di Ningde, Wilayah Fujian, CATL terutamanya terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan, pengeluaran serta penjualan bateri kuasa dan bateri penyimpanan tenaga.
Syarikat itu mempunyai 28 pusat pengeluaran bateri di seluruh dunia dan menjual produknya di 74 negara dan wilayah.
Setakat Jun 2026, jumlah kumulatif pemasangan bateri kuasa CATL di peringkat global telah melebihi 28.65 juta unit.
Menurut SNE Research, CATL menyumbang sebanyak 39.2 peratus daripada penggunaan bateri kuasa global pada 2025, menduduki tempat pertama di peringkat dunia selama sembilan tahun berturut-turut dari 2017 hingga 2025, manakala bahagian pasarannya di luar negara adalah sebanyak 30 peratus pada 2025.
CATL mempunyai enam pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) iaitu di Ningde, Liyang, Shanghai, Xiamen, Hong Kong dan Munich (Jerman), dengan pasukan penyelidikan yang terdiri daripada kira-kira 23,000 anggota.
Pada 2025, jumlah pelaburan R&D CATL mencecah 22.1 bilion yuan (100 yuan = RM62.42), mewakili bahagian yang terus meningkat daripada hasil pendapatannya, dengan jumlah pelaburan R&D terkumpul melebihi 100 bilion yuan sepanjang dekad yang lepas.
Dalam sektor penyimpanan tenaga, penghantaran bateri penyimpanan tenaga CATL mencecah 121 gigawatt-jam (GWh) pada 2025, merangkumi 30.4 peratus pasaran global.
Syarikat itu mengekalkan kedudukan teratas pada peringkat global selama lima tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2025, dengan lebih 3,000 projek aplikasi global secara kumulatif.
-- BERNAMA