Am 19/09/2026 08:40 PM

KESUMA Santuni 120 Penghuni Rumah Kasih Harmoni Di Sungai Buloh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KESUMA Santuni 120 Penghuni Rumah Kasih Harmoni Di Sungai Buloh
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan bergambar pada Program Khidmat Masyarakat: Program JHEKS, Kesuma Prihatin Bersama Anak Yatim dan Asnaf di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh hari ini.

SUNGAI BULOH, 19 Sept (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) hari ini menyantuni 120 penghuni Rumah Kasih Harmoni (RKH), Paya Jaras serta 50 asnaf menerusi Program JHEKS, KESUMA Prihatin Bersama Anak Yatim dan Asnaf.

Program berkenaan sebahagian daripada inisiatif KESUMA untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya di Parlimen Sungai Buloh, terus diberi perhatian.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dalam ucapannya ketika merasmikan program berkenaan berkata selain menyantuni penghuni RKH, pelbagai program berkaitan pendidikan, pembangunan belia, kebajikan dan kesejahteraan komuniti telah dilaksanakan untuk masyarakat di situ.             

Beliau berkata beberapa siri Program Back to School telah dilaksanakan sejak 2023 bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak selain sumbangan 10,000 basikal percuma bagi memudahkan anak-anak ke sekolah.

"Bagi saya, semua usaha ini bukan sekadar berkaitan bantuan kewangan atau penyediaan kemudahan. Lebih penting, ia merupakan satu bentuk dorongan kepada anak-anak Sungai Buloh untuk terus yakin mengejar cita-cita, berusaha bersungguh-sungguh dan membina masa depan yang lebih baik," katanya.

Dalam program itu, penghuni RKH turut menyertai pelbagai aktiviti antaranya gotong-royong membersihkan kawasan asrama, mengecat tembok, menanam pokok serta sukaneka dan pertandingan mewarna bersama anak-anak.

Sementara itu, Ketua Pengarah JHEKS Bashah Bachik berkata program berkenaan merupakan inisiatif KESUMA mendekatkan perkhidmatan pelbagai agensi di bawah kementerian itu kepada masyarakat setempat.

Penghuni RKH, Alya Qistina Abdullah, 17, menyifatkan kehadiran pemimpin dan sumbangan yang diberikan amat bermakna buat mereka.

"Saya berharap program komuniti seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana sebagai manusia, kita perlu membantu golongan yang memerlukan," katanya.

-- BERNAMA