KLANG, 19 Sept (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing yang dilaporkan hilang di One Fathom Bank berdekatan Pulau Ketam di sini, sejak Isnin lepas ditamatkan sepenuhnya hari ini.
Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Leftenan Mohd Azlee Zainal berkata perkara itu diputuskan selepas tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu berjaya dikesan.
Beliau berkata sektor pencarian operasi selama enam hari itu meliputi radius 3,887 batu nautika persegi di kawasan perairan Selangor dan Perak.
“Operasi hingga 7 malam tadi bagaimanapun tidak menemukan petunjuk baharu dan seorang lagi pemancing yang masih hilang.
“Sehubungan itu, operasi SAR meliputi sektor laut dan udara termasuk di kawasan perairan Hutan Melintang dan Bagan Datuk ditamatkan sepenuhnya," katanya ketika ditemui Bernama di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Sementa di sini malam ini.
Terdahulu, beliau turut memberi penerangan berhubung perkara itu kepada puluhan ahli keluarga yang menunggu perkembangan operasi di PHC berkenaan.
Mohd Azlee berkata walaupun operasi SAR ditamatkan, aset APMM terus melakukan rondaan rutin dan pemantauan di perairan itu.
“Kita juga telah memaklumkan kepada persatuan nelayan dan komuniti maritim supaya bekerjasama jika mempunyai maklumat atau penemuan baharu berkaitan mangsa.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada APMM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi SAR itu menggunakan aset termasuk Kapal Maritim (KM) Nusa dan Tugau, pesawat CL415MP serta bot peronda RH33 Pasukan Polis Marin (PPM).
Sementara itu, bapa saudara kepada seorang daripada mangsa Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, iaitu Khairul Muhidin, 47, berkata jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Barat, Shah Alam pada 5.15 petang tadi.
“Jenazah Allahyarham yang dituntut keluarga di Hospital Sungai Buloh tengah hari tadi disembahyangkan di Masjid An-Naim, Jalan Kebun pada 4.30 petang.
“Kami reda dengan ketentuan Allah dan bersyukur semua urusan pengebumian arwah berjalan lancar termasuk proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada pihak hospital," katanya.
Pada Isnin lepas, APMM Selangor melancarkan SAR selepas menerima laporan rasmi berhubung kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank pada 3.35 pagi.
Empat mangsa dalam keadaan selamat manakala dua meninggal dunia, iaitu Muhammad Ridzuan dan Mohamad Shahril Abd Rahman, 43, yang ditemukan di perairan Hutan Melintang pada Rabu dan Khamis lepas, manakala seorang lagi pemancing yang hilang iaitu Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49, belum dijumpai setakat ini.
-- BERNAMA