Ekonomi 19/09/2026 10:48 PM

PMKS, Peniaga Tempatan Perlu Diperkasa Seiring Pertumbuhan Ekonomi - Armizan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PMKS, Peniaga Tempatan Perlu Diperkasa Seiring Pertumbuhan Ekonomi - Armizan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali

BATU KAWAN, 19 Sept (Bernama) – Kerajaan berusaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peniaga tempatan agar mereka dapat menjadi komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara, di samping menerima manfaat daripada perkembangan ekonomi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia penting susulan wujudnya pandangan mengenai jurang antara pertumbuhan ekonomi negara dengan keadaan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kalau kita melihat pertumbuhan ekonomi negara sejak di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang sebanyak 3.7 peratus pada 2023, 5.1 peratus pada 2024 dan 5.2 peratus pada 2025. Bagi 2026 pula, setakat suku kedua, pertumbuhan mencecah enam peratus.

“Ketika ini terdapat pandangan mengenai wujudnya jurang antara pertumbuhan ekonomi negara dengan keadaan rakyat di peringkat akar umbi.

“Sebab itu kerajaan melihat perlunya agenda rakyat termasuk PMKS dan peniaga dalam pelbagai sektor diperkasakan supaya mereka turut menjadi komponen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Festival Jom Malaysia Pulau Pinang 2026 di Stadium Negeri Batu Kawan di sini hari ini.

Armizan berkata antara faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara konsisten ialah permintaan domestik yang kukuh dan perbelanjaan isi rumah yang mampan, jadi kerajaan mahu produk tempatan turut menjadi komponen penting dalam pertumbuhan tersebut.

Beliau berkata usaha memperkasa produk tempatan bukan sekadar menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia, sebaliknya bertujuan membina keyakinan terhadap jenama Malaysia serta membuka akses pasaran dari peringkat tempatan ke nasional, serantau dan global.

Katanya, agenda memperkasa penggunaan dan pembelian produk tempatan kini diangkat sebagai agenda nasional serta digerakkan secara lebih tersusun menerusi pendekatan seluruh negara, yang melibatkan kementerian, agensi kerajaan, industri, usahawan, peruncit, platform digital, media dan masyarakat.

Beliau berkata Jemaah Menteri pada 15 Julai lepas bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof, dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai urus setia.

Katanya, terma rujukan (TOR) jawatankuasa itu telah dimuktamadkan dan ia kini bersedia mengadakan mesyuarat pertama, selain melihat cabaran dihadapi PMKS termasuk kemasukan barangan yang dijual menerusi platform dalam talian.

Sementara itu, beliau berkata Jom Malaysia adalah transformasi strategik daripada Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang dilaksanakan sejak 1984 dan ia bukan program sekali sahaja.

Sebaliknya, katanya, Jom Malaysia merupakan antara mekanisme untuk menyemarakkan patriotisme ekonomi dan membina keyakinan terhadap produk Malaysia.

Festival Jom Malaysia Pulau Pinang yang berlangsung selama empat hari bermula 17 September hingga esok merupakan siri ketiga dan terakhir bagi tahun ini, dengan antara pengisiannya Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM), reruai produk tempatan, pameran agensi kerajaan serta Festival Pengguna (CONFEST) 2026.

– BERNAMA