Am 19/09/2026 11:33 PM

Golden Reunion Meriah, Lebih 500 Sertai Perarakan Tanglung

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Golden Reunion Meriah, Lebih 500 Sertai Perarakan Tanglung

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Lebih 500 orang menyertai Perarakan Tanglung Golden Reunion di Sunway Velocity Mall di sini malam ini, yang menjadi acara kemuncak sambutan Pesta Pertengahan Musim Luruh pusat beli-belah itu.

Perarakan bermula di Atrium Utama sebelum peserta bergerak menuju ke Velo Garden seluas dua ekar sambil membawa tanglung berwarna-warni dan disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan sepanjang laluan.

Pengarah Kanan Pemasaran Sunway Velocity Mall Darren Chear berkata sambutan tahun ini menarik lebih ramai pengunjung berbanding tahun lepas, dengan penganjuran perarakan itu membawa kelainan kepada acara berkenaan.

“Tahun lepas, kami menerima kira-kira 200 peserta. Namun, tahun ini kami menjangkakan jumlah lebih ramai kerana terdapat sedikit kelainan, terutamanya dengan adanya perarakan,” katanya kepada Bernama selepas Perarakan Tanglung Golden Reunion di Sunway Velocity Mall di sini hari ini.

Beliau berkata perarakan itu antara elemen baharu diperkenalkan tahun ini dengan mengetengahkan pelbagai persembahan kebudayaan Malaysia bagi memeriahkan lagi sambutan Pesta Pertengahan Musim Luruh.

Perarakan itu didahului persembahan tarian naga LED, diabolo LED dan tarian kipas LED serta paluan gendang pelbagai kaum, sekali gus menceriakan suasana sepanjang perjalanan peserta dari Atrium Utama menuju ke Velo Garden.

Dalam ucapan perasmiannya, Darren berkata konsep ‘tuan yuan’ yang membawa pengertian pertemuan semula, kesempurnaan dan kebersamaan merupakan elemen penting dalam Pesta Pertengahan Musim Luruh serta mencerminkan semangat sambutan tahun ini.

“Bentuk bulat kuih bulan melambangkan kesempurnaan dan mengingatkan kita tentang pentingnya berkumpul, berkongsi detik bersama serta mengeratkan kembali hubungan dengan insan tersayang,” katanya.

Sambutan Pesta Pertengahan Musim Luruh Sunway Velocity Mall bertemakan ‘Golden Reunion’ dilancarkan secara rasmi hari ini sebagai usaha menggabungkan warisan tradisional dengan pengalaman moden dan interaktif untuk pengunjung tempatan serta antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Majlis pelancaran turut menampilkan persembahan Multiracial Drum Symphonies, disusuli persembahan secara langsung artis Sony Music Malaysia iaitu Zane Wu, Atta Rumnan dan Chloeyuz di Velo Garden.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan, Sunway Velocity Mall bekerjasama dengan Joymom’s bagi membantu penghuni Sunshine Disability Welfare Home, dengan hasil jualan kuih bulan terpilih disalurkan terus kepada rumah kebajikan itu.

Berlangsung hingga 27 Sept, Golden Reunion menghimpunkan lebih 30 jenama kuih bulan di pusat beli-belah berkenaan selain Moonlit Bazaar, bengkel kebudayaan, persembahan pentas secara langsung dan Cultural Market di Velo Garden yang menawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung sepanjang sambutan itu.

-- BERNAMA