Am 19/09/2026 11:48 PM

Bomba Gerak Operasi SAR Pendaki Terpisah Di Hutan Gua Musang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bomba Gerak Operasi SAR Pendaki Terpisah Di Hutan Gua Musang

KOTA BHARU, 19 Sept (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan malam ini menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki lelaki yang terpisah daripada kumpulannya di hutan berhampiran Kem Tudung Periuk, Gua Musang.

Mangsa, Muhammad Asrul Quy yum Asmmuddin, 23, dilaporkan terjatuh ke kawasan curam selepas tergelincir daripada laluan pendakian, namun tidak mengalami kecederaan serius dan masih mampu berjalan.

Jurucakap JBPM negeri berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kelantan berjaya menghubungi mangsa yang turut menghantar lokasi melalui aplikasi WhatsApp, bagaimanapun liputan telefon di kawasan berkenaan tidak stabil.

“Mangsa mempunyai lampu suluh dan wisel serta baki bateri telefon pintar sekitar 75 peratus.

“Beliau diarahkan supaya kekal di lokasi sementara menunggu pasukan SAR tiba, selain menjimatkan penggunaan bateri telefon dan lampu suluh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

JBPM menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.08 malam sebelum BBP Gua Musang menggerakkan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan Hilux ke lokasi, kira-kira 116 kilometer dari balai.

-- BERNAMA