Am 20/09/2026 12:44 AM

Anwar Puji Peningkatan Mutu Pementasan Tempatan Menerusi Mansur & Liu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anwar Puji Peningkatan Mutu Pementasan Tempatan Menerusi Mansur & Liu
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) hadir menonton Teater Muzikal Mansur dan Liu yang diterbitkan oleh Datuk M.Nasir di Istana Budaya. Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) – Teater Muzikal Mansur & Liu malam ini membuktikan bahawa mutu pementasan tempatan telah meningkat ke tahap boleh dibanggakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkembangan itu turut memperlihatkan pemerkasaan budaya sebagai sebahagian daripada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.

“Kita bila saya sebut pertumbuhan, pembangunan ekonomi, kita bicarakan tentang pemerkasaan budaya. Dan malam ini kita telah buktikan bahawa ada pementasan tempatan yang telah meningkat ke suatu taraf yang boleh dibanggakan.

“Saya rasa antara pementasan terbaik yang saya lihat dalam negara dan agak boleh setanding dengan beberapa tempat lain di dunia,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan pementasan itu di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini malam ini.

Anwar berkata pementasan seni tempatan tentunya memerlukan sokongan kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan ia terus berkembang.

Beliau turut bersyukur dapat menyaksikan sendiri keupayaan pementasan seni tempatan, dan pada masa sama merakamkan ucapan terima kasih kepada pengarah Datuk M Nasir dan semua pihak yang menjayakan pementasan teater berkenaan.

Teater Muzikal Mansur & Liu mengisahkan pertemuan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dari Dinasti Ming berdasarkan kisah yang terakam dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan dipentaskan dari 10 hingga 20 Sept di Panggung Sari, Istana Budaya.

-- BERNAMA