MANILA, 19 Sept (Bernama-PNA) -- ASEAN kini menyasarkan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi yang memacu inovasi dan mewujudkan pekerjaan berkualiti sekali gus mengalihkan tumpuannya daripada hanya meningkatkan jumlah pelaburan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Bercakap selepas berakhirnya Mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN ke-29 di Pasay City pada Sabtu, Timbalan Setiausaha Perdagangan Ceferino Rodolfo berkata para menteri mengkaji bagaimana blok itu boleh menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperdalam integrasi serantau dan meletakkan dirinya dengan lebih berkesan dalam peralihan hijau dan digital.
“Mesyuarat itu menekankan keperluan untuk bergerak lebih daripada sekadar meningkatkan jumlah pelaburan ke arah menarik pelaburan yang menjana inovasi, pekerjaan berkualiti, mengukuhkan keupayaan industri dan menyumbang kepada pembangunan mampan,” katanya pada sidang media.
Mesyuarat itu, yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-58, turut membincangkan sektor keutamaan di bawah Pelan Tindakan Penggalakan Pelaburan Serantau ASEAN 2025–2030.
Ini termasuk bahan api bio, peranti perubatan, peralatan fotovoltaik suria, penangkapan dan penyimpanan karbon, penjagaan kesihatan veterinar, bahan binaan mampan dan pembangunan grid pintar.
“Mesej ASEAN hari ini jelas. ASEAN kekal terbuka untuk perniagaan, komited terhadap kerjasama serantau dan berazam untuk bersaing dengan cemerlang dalam industri masa depan.
“Pada masa sama, ASEAN berusaha untuk memastikan kemajuan ekonomi adalah inklusif dan mampan,” kata Rodolfo.
Para menteri juga mengambil maklum mengenai Laporan Pelaburan ASEAN 2026, yang menekankan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) ASEAN mencapai rekod US$243.9 bilion pada 2025.
“Sama pentingnya, pelaburan intra-ASEAN terus mengukuh, meningkat kepada hampir US$40 bilion pada 2025, menggariskan kepentingan pelaburan intra-serantau dan hubungan ekonomi dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Setiausaha Perdagangan Cristina Roque menggesa negara anggota ASEAN untuk memanfaatkan momentum apabila perniagaan menilai semula keputusan pelaburan mereka dalam ketidaktentuan global.
"Ini mewujudkan kedua-dua tekanan dan peluang untuk ASEAN. Tekanan kerana kita mesti bekerja lebih keras untuk memastikan pelaburan kita serta boleh diramal dan menarik.
“Peluang kerana ASEAN kekal sebagai antara wilayah yang berdiri sebagai salah satu kuasa ekonomi paling berpotensi cerah secara global, menggabungkan demografi muda, celik teknologi, keterbukaan pasaran dan potensi pertumbuhan yang tidak dapat ditandingi," katanya.
Sebagai pengerusi ASEAN, Roque berkata Filipina akan memastikan bahawa blok itu mengukuhkan kedudukannya sebagai "destinasi pelaburan terkemuka".
Mesyuarat itu juga meliputi penglibatan dengan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik, dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan mengenai pelbagai inisiatif untuk meningkatkan daya saing ASEAN dalam menarik FDI.
-- BERNAMA-PNA