Dunia 19/09/2026 11:08 PM

Filipina Anjur Forum Perniagaan ASEAN Peringkat Tinggi, PMKS Agenda Utama

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Filipina Anjur Forum Perniagaan ASEAN Peringkat Tinggi, PMKS Agenda Utama
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MANILA, 19 Sept (Bernama-PNA) -- Filipina, sebagai pengerusi ASEAN, bakal menjadi tuan rumah forum perniagaan inklusif peringkat tinggi sebagai sebahagian usaha untuk penyepaduan lebih besar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke dalam rantaian nilai serantau dan global, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Acara itu, yang akan diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-58, dijadualkan pada 22 Sept di Dewan Pameran Filipina Likhang di Pasay City.

Pada sidang media praacara pada Sabtu, Timbalan Setiausaha Perdagangan Ceferino Rodolfo berkata mesyuarat itu mencerminkan "komitmen ASEAN untuk mengekalkan pertumbuhan dan memastikan pembangunan ekonomi terus inklusif dan berpaksikan rakyat".

"Apabila ASEAN menggalakkan model perniagaan inklusif, lebih banyak PMKS, petani, usahawan mikro dan perusahaan komuniti mendapat akses kepada pasaran, pembiayaan, teknologi dan peluang perniagaan. Ini menyumbang secara langsung kepada pengurangan kemiskinan dan pertumbuhan yang lebih saksama," katanya.

Rodolfo berkata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) secara rasmi akan melancarkan laporannya, "Dari Margin kepada Pasaran: Memperkasakan Ekonomi ASEAN Melalui Perniagaan Inklusif", semasa forum itu untuk menyediakan perspektif serantau mengenai sumbangan ekonomi perniagaan inklusif (IB).

Acara itu menandakan hampir satu dekad kemajuan sejak Filipina pertama kali memperkenalkan perniagaan inklusif kepada agenda serantau semasa menjadi pengerusi ASEAN pada 2017.

Sejak itu, OECD berkata ASEAN telah mengarusperdanakan agenda perniagaan inklusif. AEM telah mengesahkan Garis Panduan untuk Penggalakan Perniagaan Inklusif di ASEAN pada 2020 dan kemudiannya menerima pakai Pelan Tindakan untuk Promosi Perniagaan Inklusif di ASEAN pada 2023, yang berusaha mempromosikan akreditasi IB dan membina kapasiti firma untuk membangunkan model IB.

Forum itu juga akan menampilkan Majlis Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN, yang mengiktiraf perusahaan inklusif cemerlang dari seluruh rantau ini.

-- BERNAMA-PNA