Am 19/09/2026 09:48 PM

93 Tahun ATM: Kebajikan Anggota, Keluarga Dan Veteran Terus Jadi Keutamaan - PAT

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
93 Tahun ATM: Kebajikan Anggota, Keluarga Dan Veteran Terus Jadi Keutamaan - PAT
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman (tiga, kiri) bergambar pada Peluncuran Dokumen Strategik dan Tadbir Urus Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Majlis Ramah Mesra, Meraikan Anggota Cedera, Veteran dan Kebajikan sempena Sambutan Hari ATM ke-93 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini hari ini.

LUMUT, 19 Sept (Bernama) -- Memasuki usia 93 tahun penubuhannya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus meletakkan kebajikan anggota, keluarga dan veteran sebagai antara keutamaan, kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Beliau berkata hubungan ATM dengan masyarakat diperkasakan dan diplomasi pertahanan terus diperluas di peringkat serantau, luar rantau dan antarabangsa, dengan ASEAN kekal sebagai keutamaan strategik.

“Keseluruhan usaha ini menunjukkan bahawa transformasi bukan sekadar berlaku pada struktur dan keupayaan, tetapi turut melibatkan minda, budaya, sistem dan hubungan ATM dengan masyarakat serta rakan strategik,” katanya dalam ucapan perutusan bersempena dengan Hari ATM Ke-93 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut di sini hari ini.

Malek Razak kemudian turut hadir ke Majlis Ramah Mesra, Meraikan Anggota Cedera, Veteran Dan Kebajikan di Dewan M Sidek Shabudin, KD Pelandok.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, Panglima Tentera Laut Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain serta Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Nur Hafis Abdul Karim.

Pada majlis berkenaan, beliau menyantuni serta menyampaikan sumbangan kepada 27 veteran, 18 anggota yang cedera serta 15 waris anggota mengidap penyakit kronik.

Beliau turut menyempurnakan pelancaran Buku Dan Dokumen Strategi Serta Tadbir Urus ATM.

Bertemakan “Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara”, sambutan tahun ini mencerminkan komitmen ATM untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan, membangunkan keupayaan serta menyesuaikan organisasi dengan perubahan persekitaran keselamatan.

Karnival yang dibuka kepada orang awam bermula hari ini hingga esok, menarik ribuan pengunjung yang teruja dengan pengisian utama iaitu Perbarisan Tempur Hari ATM Ke-93 melibatkan 641 pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM.

Turut mencuri perhatian pameran aset pertahanan serta gerai pameran, demonstrasi keupayaan, persembahan dan aktiviti interaktif bersama warga ATM.

Sambutan kali ini turut menjadi platform mengetengahkan usaha transformasi ATM melalui pelbagai pelancaran inisiatif dan dokumen strategik.

Antara inisiatif itu ialah MyZULU Health, Program Kesihatan Sosial dan Kerohanian Organisasi (KSKO), HRMIS on Internet (HOI) serta Tim Nukleus Angkatan Siber.

Selain itu, Dokumen Kajian Separuh Penggal Strategi Ketenteraan Negara 2.0 (KSP SKN 2.0), 4th Dimension Malaysian Armed Forces Plus (4DMAF+) dan Buku Pelan Tindakan Pencegahan Rasuah ATM 2026 hingga 2030.

-- BERNAMA