IPOH, 19 Sept (Bernama) -- Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak akan membentangkan maklum balas serta laporan kajian berhubung isu perubahan warna air dan dakwaan pencemaran di Sungai Rui, Gerik kepada kerajaan negeri minggu depan.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pasukan teknikal JMG telah ke lokasi sejak dua hari lepas bagi menjalankan pensampelan serta siasatan terperinci susulan aduan baharu yang diterima daripada penduduk setempat.
"Perubahan warna air boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor semula jadi mahupun sebatian tindak balas antara mineral, namun sebarang tindakan lanjut hanya akan diputuskan berpandukan laporan ujian makmal yang sahih.
“Kita minta orang ramai tidak panik atau mencetuskan kekecohan kerana JMG sudah turun ke lapangan untuk menjalankan kajian," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program dan Aktiviti Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Pada 16 Sept lepas, beberapa pihak meminta kerajaan negeri menjalankan siasatan menyeluruh terhadap lembangan Sungai Rui dan Sungai Perak ekoran kebimbangan penduduk terhadap fenomena perubahan warna air serta risiko pencemaran logam berat seperti arsenik.
Sementara itu, Saarani berkata keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah untuk memastikan kualiti air kekal selamat digunakan dan sumber atau ikan di sungai berkenaan tidak memudaratkan kesihatan masyarakat.
Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi jaminan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas, termasuk menghentikan sebarang aktiviti sekiranya sampel air mengandungi kepekatan arsenik berbahaya, sebagaimana langkah ketat yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Menyentuh tentang penganjuran KAMU, katanya, beliau berpuas hati terhadap sambutan penganjuran edisi kelima karnival berkenaan yang menunjukkan peningkatan dari segi bilangan penyertaan serta kepelbagaian acara yang ditawarkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Saarani berkata acara seperti konsert dan hiburan berfungsi sebagai alat bagi menarik minat golongan belia untuk hadir, namun keutamaan sebenar penganjuran tersebut terletak pada maklumat serta pengisian bermanfaat yang disediakan di dalam stadium.
“Kita berharap pengunjung yang hadir tidak sekadar menikmati hiburan luar semata-mata, sebaliknya mengambil peluang untuk masuk ke dalam stadium bagi mendapatkan pelbagai maklumat berguna serta menyebarkannya kepada orang ramai,” katanya.
-- BERNAMA