KUALA TERENGGANU, 19 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu menyalurkan sebanyak RM10.9 juta kepada 2,180 penerima faedah bermula dari 1 Jan hingga 31 Julai lepas.
Pengarah PERKESO Terengganu Hisham Abdul Rahman berkata pembayaran itu melibatkan faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, faedah keilatan, faedah penakat dan faedah pengurusan mayat.
Beliau berkata majikan perlu memastikan semua pekerja berdaftar dengan PERKESO dan membuat caruman bagi memastikan mendapat perlindungan sewajarnya sekiranya berlaku perkara tidak diingini ketika bekerja.
"PERKESO akan melaksanakan Ops Kesan Peringkat Kebangsaan dan Terengganu pada 22 Sept ini bagi mengesan majikan yang masih belum mendaftarkan perusahaan serta mencarum untuk pekerja.
"Sehubungan dengan itu, saya menyeru majikan yang masih belum berdaftar supaya tampil ke pejabat PERKESO bagi memastikan pekerja mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial.
“Pekerja juga perlu mempertimbangkan manfaat perlindungan keselamatan sosial sebelum membuat keputusan untuk tidak mencarum, terutama apabila caruman ditawarkan pada kadar minimum berdasarkan gaji mereka," katanya selepas Program Jalinan Mesra PERKESO Bersama Pengamal Media Negeri Terengganu 2026.
Terdahulu, sebanyak 50 petugas PERKESO bersama-sama pengamal media turun padang membersihkan dan menceriakan Surau Bandar Baru Pulau Kambing dan menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada dua keluarga daripada golongan B40.
-- BERNAMA