Am 19/09/2026 05:47 PM

Longkang Di Taman Desa Kayangan Perlu Segera Dinaik Taraf - Saifuddin

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Longkang Di Taman Desa Kayangan Perlu Segera Dinaik Taraf - Saifuddin
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meninjau lokasi longkang yang meragut empat nyawa kanak-kanak dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola yang jatuh di situ, di Taman Desa Kayangan. Saifuddin berkata sistem keselamatan di sepanjang longkang di taman ini perlu segera dinaikkan taraf susulan tragedi yang meragut nyawa, Isnin lalu. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KULIM, 19 Sept (Bernama) -- Sistem keselamatan di sepanjang longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, dekat sini perlu segera dinaik taraf susulan tragedi yang meragut nyawa empat kanak-kanak pada Isnin lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kawasan persekitaran di taman perumahan berkenaan menggunakan sistem longkang terbuka dan perlu dipasang dengan pagar atau ditutup dengan jeriji besi.

“Saya minta mereka (persatuan penduduk) untuk segera mengemukakan permohonan untuk saya bantu pada keadaan serta-merta.

“Mungkin boleh serahkan urusan kepada keluarga seorang lagi mangsa di Kampung Baru Gajah Merangkak, yang kebetulan merupakan seorang tukang besi, untuk membuat kerja pemasangan itu,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata beliau percaya persatuan penduduk taman tersebut juga sudah bersedia mengambil langkah meningkatkan lagi tahap keselamatan kawasan persekitaran di situ.

“Aspek keselamatan ini, jika persatuan memerlukan sokongan atau kerjasama, mereka boleh maklumkan untuk kita bantu meningkatkan tahap keselamatan kawasan persekitaran penduduk,” katanya.

Pada ziarah itu, Saifuddin Nasution turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada keluarga mangsa.

“Hari ini, kita menyampaikan sedikit sumbangan kebajikan kepada keluarga sambil memberikan pesan kesabaran atas ujian kehilangan orang yang dikasihi dalam keluarga.

“Sedikit bantuan kewangan yang saya hulur ini tentunya tidak boleh menggantikan nyawa anak yang mereka sayang, tetapi sekurang-kurangnya dapat mereka tahu bahawa masih ada pihak yang memberikan simpati atas insiden yang berlaku,” katanya.

Saifuddin Nasution sebelum itu turut meninjau lokasi kemalangan yang meragut nyawa empat kanak-kanak terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Desa Kayangan Mohd Hafiz Jaafar berkata pihaknya akan segera mengemukakan permohonan bagi tujuan meningkatkan aspek keselamatan di situ, selaras dengan saranan Saifuddin Nasution.

“Ada dua perkara yang saya lihat perlu disegerakan, iaitu pembinaan pagar di sekeliling kawasan taman permainan di situ serta pemasangan penutup longkang atau jeriji besi.

“Kawasan di sekitar taman permainan itu luas dan sempadannya terlalu hampir dengan longkang, memang agak bahaya kepada kanak-kanak,” katanya.

Cadangan berkenaan turut disokong bapa kepada dua kanak-kanak yang maut dalam tragedi berkenaan, iaitu Mohd Ashrofudin Ramdzon, 41, yang berpandangan langkah serta-merta perlu dilaksanakan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

“Kawasan rumah saya memang sering menjadi tumpuan kanak-kanak kawasan perumahan ini kerana berdekatan dengan taman permainan, jika tahap keselamatan ditingkatkan, sekurang-kurangnya kita dapat elak kejadian sama berulang,” katanya.

Dalam kejadian pada Isnin, empat kanak-kanak Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10, dan Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola yang jatuh di situ.

-- BERNAMA