KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, sebagai respons parti itu terhadap isu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diberi pengampunan bersyarat untuk jalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Beliau berkata surat peletakan jawatan itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
“Keputusan ini dicapai selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung selama tiga jam bagi membincangkan perkembangan berkenaan.
“Saya mengemukakan cadangan ini kepada CEC dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.
Beliau berkata peletakan jawatan tersebut hanya melibatkan dirinya selaku ahli Jemaah Menteri, manakala menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terjamin.
“Yang lain, walaupun mereka juga bersedia, sanggup melepaskan jawatan pada mana-mana waktu, pada apa-apa ketika, tetapi CEC telah membuat keputusan sementara waktu ini, mereka akan kekal berada dalam jawatan untuk memastikan kestabilan politik masih terjamin.
"Ini satu tindakan yang kita rasa bertanggungjawab, kerana kita tidak mahu apa-apa tindakan politik kita ini menyebabkan ketidakstabilan politik,” katanya.
Beliau berkata sekiranya pemimpin-pemimpin DAP yang lain melepaskan jawatan dalam Kabinet, hal itu berisiko menjejaskan kestabilan politik sekali gus meruntuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.
"DAP amat menyedari permainan politik pihak-pihak tertentu dan harapan mereka untuk kita membuat satu keputusan bagi membolehkan mereka mencapai cita-cita politik mereka. Kita tidak memberi ruang kepada mereka dalam perkara ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata perancangan dan projek di bawah Kementerian Pengangkutan diteruskan seperti biasa dan tidak akan menjejaskan operasi kementerian susulan peletakan jawatannya.
Loke turut mengulangi pendirian parti itu menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh dipertikaikan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara semalam.
-- BERNAMA