Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
NAGOYA, 19 Sept (Bernama) -- Penantian 32 tahun Jepun untuk kembali menjadi tuan rumah Sukan Asia berakhir apabila upacara pembukaan temasya terbesar Asia itu berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, di sini hari ini, bertemakan Imagine One Asia.
Upacara yang bermula pada 6 petang waktu tempatan itu menyaksikan Jepun menyajikan persembahan artistik serta pertunjukan cahaya berwarna-warni, mencerminkan keterujaan negara berkenaan menganjurkan Sukan Asia buat kali ketiga selepas Tokyo pada 1958 dan Hiroshima pada 1994.
Majlis pembukaan dimulakan dengan persembahan nyanyian sebelum ketibaan tetamu kehormat, Maharaja Naruhito dan Maharani Masako; Putera Mahkota Akishino Fumihito serta Puteri Mahkota Kiko; Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) Sheikh Joaan Hamad Al Thani dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Kirsty Coventry.
Acara artistik membuka tirai rasmi menerusi segmen Welcome Aichi-Nagoya – Awakening of the Space and the Resonating Heart Beat, dengan persembahan oleh Hakase Taro dan barisan artis yang membentuk perkataan “WELCOME”.
Ia disusuli kemasukan bendera kebangsaan Jepun dan upacara menaikkan bendera sebelum perbarisan kontinjen 45 negara yang bertanding pada temasya kali ini.
Malaysia yang menyertai Sukan Asia kali ke-19 berturut-turut muncul sebagai kontinjen ke-22, diketuai Chef de Mission (CDM) Datuk Mohd Sumali Reduan.
Jalur Gemilang pula diarak oleh gandingan atlet wushu wanita Tan Cheong Min dan pelari pecut lelaki Muhammad Azeem Mohd Fahmi, manakala kontinjen negara tampil dalam busana batik khas yang menampilkan interpretasi moden identiti Malaysia.
Rekaan baju berlatarkan warna putih itu melambangkan perpaduan dan keterbukaan, manakala corak biru, merah dan emas yang mengalir menggambarkan keyakinan, keberanian, semangat serta aspirasi mengejar kecemerlangan.
Motif bunga dan tumbuhan tradisional turut diketengahkan bagi meraikan kekayaan warisan budaya negara.
Tampalan Jalur Gemilang pada bahagian lengan pula menjadi elemen memperingati sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 Sept.
Majlis diteruskan dengan ucapan Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya (AINAGOC), Hideaki Omura dan Sheikh Joaan, sebelum deklarasi rasmi pembukaan temasya.
Acara protokol seterusnya menyaksikan kemasukan bendera OCA dan upacara menaikkan bendera badan berkenaan, selain lafaz ikrar atlet serta hakim.
Segmen artistik diteruskan menerusi Aichi-Nagoya, the Heart Beat of Tradition yang mengetengahkan perkembangan dan kemakmuran Nagoya serta Aichi dengan latar Istana Nagoya, menggabungkan unsur tradisi dan teknologi menerusi tarian Jepun, alat muzik tradisional serta elemen kontemporari.
Persembahan A Manufacturing Excellence in Aichi-Nagoya: Harmony Connecting to the Future pula menggunakan cahaya dan jentera bagi menggambarkan perkembangan sektor perindustrian serta masa depan Aichi-Nagoya, sebelum kemuncak acara menyaksikan enam pembawa obor membawa api temasya mengelilingi stadium dan menyalakan kawah Sukan Asia.
Selepas kawah dinyalakan, semua penghibur kembali ke pentas untuk persembahan penutup Harmonic Heart Beat – United as One in Aichi-Nagoya, yang menggambarkan seluruh Aichi-Nagoya bersatu menyambut permulaan temasya.
-- BERNAMA