Am 19/09/2026 07:21 PM

SPRM Pahang Bawa Mesej Antirasuah Ke Laluan Pendakian

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SPRM Pahang Bawa Mesej Antirasuah Ke Laluan Pendakian

KUANTAN, 19 Sept (Bernama) -- Mesej antirasuah dibawa keluar daripada dewan seminar ke laluan pendakian apabila 293 peserta menyertai Program Pendakian Antirasuah “Integriti Didaki, Rasuah Dijauhi, Alam Dicintai” di Taman Eko Rimba Bukit Pelindung, di sini hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang Mohd Shukor Mahmud berkata program dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang itu, menggabungkan elemen integriti, riadah serta kecintaan terhadap alam sekitar.

Beliau berkata pendekatan berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat mendekati perkongsian berkaitan elemen antirasuah dalam suasana lebih santai dan tidak terikat dengan ruang konvensional.

“Rerurai juga dibuka bagi mendekatkan masyarakat dengan perkongsian elemen-elemen antirasuah, termasuk memperkenalkan aset kenderaan SPRM, Special Purpose Vehicle (SPV) dalam pelaksanaan tugasan operasi semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata program itu turut disertai Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) daripada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) sekitar Kuantan, sebagai wadah menyemai nilai integriti dalam kalangan generasi muda.

“Penglibatan golongan mahasiswa itu juga bertujuan memperkukuh peranan mereka sebagai ejen perubahan dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada komuniti,” katanya. 

Mohd Shukor berkata turut diadakan pelancaran simbolik Keep Malaysia Clean (KMC) yang mengangkat nilai kebersihan, tanggungjawab dan kelestarian alam seiring dengan pembudayaan integriti.

-- BERNAMA