BATU GAJAH, 19 Sept (Bernama) -- Polis belum dapat mengesahkan sama ada sekumpulan penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang di sini awal pagi tadi mempunyai kaitan dengan lumba haram atau “merempit”.
Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari berkata pihaknya perlu mengambil keterangan daripada sembilan penunggang motosikal yang masih dirawat di hospital bagi mengetahui keadaan sebenar sebelum dan ketika kejadian.
Beliau berkata kesemua penunggang terbabit berusia antara 19 hingga 25 tahun dan merupakan sekumpulan rakan yang bergerak bersama dari kawasan Meru Jaya sebelum kemalangan berlaku.
“Kita belum dapat sahkan lagi sama ada mereka ‘merempit’ atau tidak kerana kita belum ambil keterangan mereka yang sedang dirawat di hospital ketika ini.
"Apabila keadaan mengizinkan, kita akan ambil keterangan mereka untuk merungkai apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita 2026 dan Diskusi Town Hall Ketua Polis Perak Bilangan 2 di Dewan Bandaran Kinta di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 3.35 pagi itu, dua penunggang motosikal berusia 19 dan 20 tahun maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang berusia 19 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta berlaku lebih awal di lokasi berkenaan sehingga kenderaan terbabit berada di laluan pengguna jalan raya lain.
“Penunggang motosikal ini bergerak dalam jarak yang rapat sebelum melanggar kenderaan berkenaan dan menyebabkan berlaku pelanggaran berantai,” katanya sambil menambah keadaan pencahayaan di lokasi yang mungkin tidak begitu terang turut diambil kira dalam siasatan.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau berkata rakaman kamera papan pemuka (dashcam) membantu polis mengenal pasti dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian seorang pemandu didakwa diugut menggunakan sebatang kayu di Jalan Ipoh-Gopeng, Simpang Pulai di sini.
“Daripada rakaman itu, kita rasanya boleh kenal pasti mereka. Hanya menunggu masa untuk kita panggil bagi mengambil keterangan,” katanya.
Mohammad Azlin berkata tiada kejadian lebih serius berlaku selain sedikit ketegangan dari segi percakapan sebelum kedua-dua pihak beredar dari tempat kejadian sambil mengesahkan laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan kedua-dua lelaki terbabit merupakan lelaki tempatan.
Video berdurasi satu minit 30 saat mengenai kejadian sebelum ini tular di laman media sosial Threads dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu Mohammad Azlin berkata Polis Perak memilih tiga kawasan, iaitu Kampung Ara Payung, Taman Batu Gajah Perdana dan Taman Tasek Putra, Tronoh di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah sebagai Taman Angkat Amanita bagi 2026.
Beliau berkata inisiatif itu memberi penekanan kepada penglibatan wanita khususnya suri rumah sebagai rakan strategik polis dalam usaha meningkatkan kesedaran serta pencegahan jenayah di kawasan kejiranan.
“Melalui pendekatan ini, PDRM bukan sahaja dapat memahami isu keselamatan yang dihadapi penduduk, malah masyarakat turut mempunyai saluran yang lebih dekat untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat dan menyalurkan aduan berkaitan keselamatan,” katanya.
-- BERNAMA