KUALA KRAI, 19 Sept (Bernama) -- Usaha mengesan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak 9 Sept lepas di Kampung Kuala Pertang di sini diteruskan melibatkan lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berganding bahu dengan penduduk kampung.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kuala Pertang Adnan Mat Yassin berkata usaha mengesan Fauzi Deris, 74, tidak pernah terhenti sejak keluarganya memaklumkan mengenai kehilangan lelaki itu.
“Selepas pihak kami dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa oleh keluarganya, ramai penduduk dan NGO datang membantu, malah ada yang melakukan pencarian secara syif pada waktu pagi, petang dan malam.
“NGO yang datang memang memaklumkan kepada saya untuk turut serta mencari mangsa. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana mereka ikhlas menggunakan tenaga dan sebagainya untuk membantu mencari Fauzi,” katanya kepada Bernama di Kampung Kuala Pertang di sini hari ini.
Adnan berkata selain usaha di lapangan, penduduk kampung turut mengadakan solat sunat hajat di masjid setiap hari selepas solat Maghrib bagi mendoakan agar urusan mengesan Fauzi dipermudah dan ditemukan dengan segera.
Sementara itu, anak angkat mangsa, Syafiq Izwan Abdullah, 33, merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung, NGO dan pihak berkuasa yang tidak jemu membantu keluarganya.
“Saya tidak sangka banyak NGO, termasuk dari luar Kuala Krai datang membantu mencari abah saya sejak hari pertama dia hilang. Semangat yang ditunjukkan mereka untuk membantu saya sekeluarga sangat luar biasa.
“Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku, tetapi saya dan penduduk kampung di sini tidak pernah putus asa dan berharap dia dapat ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati penduduk kampung masih giat menjalankan usaha mengesan warga emas berkenaan, dengan kawasan sekitar ladang kelapa sawit antara lokasi yang menjadi tumpuan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Fauzi supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan menerusi talian 09-745 0999 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai menerusi talian 09-9666 222.
-- BERNAMA