Am 19/09/2026 06:04 PM

JIM Tahan 41 Pendatang Tanpa Izin Di Sekitar Seremban, Nilai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
JIM Tahan 41 Pendatang Tanpa Izin Di Sekitar Seremban, Nilai
kredit: FB Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan

SEREMBAN, 19 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 41 pendatang tanpa izin daripada 178 individu yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Seremban dan sebuah penempatan rumah kongsi di Nilai, awal pagi tadi.

Pengarah JIMNS Mohd Razip Yasin berkata kesemua tahanan berumur antara 18 hingga 58 tahun itu terdiri daripada 33 lelaki dan lapan perempuan menerusi operasi yang bermula dari tengah malam semalam.

Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan terdiri daripada 18 warganegara Myanmar, Bangladesh (lapan), China (tujuh), Indonesia (tiga), manakala masing-masing seorang dari Pakistan, Vietnam, India, Filipina serta seorang tidak mempunyai kewarganegaraan.

"Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada pas dan dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar peruntukan imigresen.

"Daripada jumlah tangkapan tersebut, sebanyak 17 orang ditangkap di sebuah penempatan rumah kongsi di Nilai. Semasa operasi dijalankan, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan mereka tidak dapat melarikan diri kerana kesemua laluan telah dikepung oleh pasukan operasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Razip berkata operasi melibatkan tujuh lokasi di sekitar Seremban dan penempatan rumah kongsi berkenaan dijalankan hasil aduan serta maklumat orang awam dan risikan selama seminggu.

Beliau berkata kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyalurkan laporan atau aduan berkaitan bagi membantu usaha membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin di negara ini.

"JIMNS juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin termasuk tindakan pendakwaan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

-- BERNAMA