Dunia 19/09/2026 04:43 PM

Rasa Malaysia 2026 Bawa Budaya, Kulinari Dan Peluang Perniagaan Malaysia Ke Bangkok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rasa Malaysia 2026 Bawa Budaya, Kulinari Dan Peluang Perniagaan Malaysia Ke Bangkok

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 19 Sept (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Bangkok menganjurkan Rasa Malaysia 2026 bagi mengetengahkan kepelbagaian budaya, gastronomi, pelancongan dan peluang perniagaan Malaysia, selain menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara rakyat serta komuniti perniagaan Malaysia dan Thailand.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata acara dua hari yang bermula pada Sabtu di Song Wat, dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung untuk menikmati produk dan hidangan Malaysia.

“Sepanjang dua hari ini, kami berharap dapat membawa sedikit identiti Malaysia ke Bangkok dengan menghimpunkan budaya, gastronomi, pelancongan, gaya hidup dan perniagaan dalam satu acara yang unik,” kata beliau dalam ucapan perasmian di Soul Song Wat di sini pada Sabtu.

Wan Zaidi berkata masakan Malaysia yang mencerminkan kekayaan warisan pelbagai budaya negara merupakan antara tarikan utama Rasa Malaysia, dengan hidangan seperti nasi lemak dan roti canai selain snek tradisional, pencuci mulut serta minuman.

Beliau berkata acara bertemakan “Your Malaysian Escape Starts Here” itu turut memberi peluang kepada pengunjung Thailand, komuniti diplomatik dan antarabangsa untuk mengenali bukan sahaja cita rasa Malaysia, malah kisah, tradisi dan masyarakat di sebalik hidangan negara.

Mengenai aspek perniagaan, Wan Zaidi berkata hubungan Malaysia-Thailand bukan sahaja dibina menerusi kerjasama antara kerajaan, tetapi turut diperkukuh menerusi hubungan antara rakyat dan komuniti perniagaan kedua-dua negara.

“Rasa Malaysia menyediakan platform kepada jenama dan syarikat Malaysia untuk bertemu pengguna Thailand, usahawan, pemain industri serta rakan niaga berpotensi,” katanya.

Beliau berharap interaksi sepanjang acara itu dapat membuka ruang kepada hubungan dan peluang baharu, sekali gus memperkukuh jaringan perniagaan antara kedua-dua negara.

Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Wan Zaidi berkata acara itu turut menyokong usaha Malaysia menarik lebih ramai pelancong pada tahun ini dan seterusnya.

-- BERNAMA