Am 19/09/2026 03:40 PM

MUIP Salur RM22 Juta Bantuan Pendidikan Kepada Pelajar Asnaf Di Pahang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MUIP Salur RM22 Juta Bantuan Pendidikan Kepada Pelajar Asnaf Di Pahang

KUANTAN, 19 Sept (Bernama) -- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah membelanjakan kira-kira RM22 juta bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan pendidikan di negeri itu, setakat ini. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP Datuk Dr Asmadi Abdul Rahman berkata bantuan itu termasuk sokongan kepada pelajar daripada keluarga asnaf yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Beliau berkata sebanyak 20 anak asnaf yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dan berjaya mendapat penempatan di universiti awam menerima sumbangan awal RM2,000 seorang.

"Daripada 30 nama yang kami peroleh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), sebanyak 20 orang telah berjaya mendapat penempatan di Universiti Awam," katanya selepas Majlis Agihan Zakat Pendidikan Anak Asnaf Cemerlang 2026 yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Datuk Ahmad Hairi Hussain di sini, hari ini.

Asmadi berkata MUIP turut memberikan bantuan bulanan maksimum RM500 kepada pelajar berdasarkan keperluan dengan penilaian mengambil kira lokasi serta kos sara hidup pelajar.

"Mungkin mereka hanya perlukan belanja RM300, contohnya di Kelantan atau Terengganu yang kos sara hidupnya murah. Tetapi jika menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atau Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), perlu tinggi sebab di Johor,” katanya.

Beliau berkata bantuan berkenaan boleh diteruskan selagi pelajar memerlukannya, termasuk bagi keperluan tertentu pada tahun akhir pengajian seperti perbelanjaan berkaitan projek.

Sementara itu, beliau berkata MUIP turut mempertimbangkan bantuan komputer riba kepada pelajar selepas mereka memasuki universiti berdasarkan keperluan serta bidang pengajian masing-masing.

Asmadi berkata pelajar yang mendapat tawaran ke luar negara juga boleh dipertimbangkan untuk menerima bantuan MUIP berdasarkan keperluan.

-- BERNAMA