Am 19/09/2026 04:45 PM

Pengampunan Najib: Hubungan Parti Kerajaan Perpaduan Kekal Baik - Ahmad Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengampunan Najib: Hubungan Parti Kerajaan Perpaduan Kekal Baik - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media di sini hari ini sempena lawatan kerjanya ke Jakarta. Ahmad Zahid berkata pertemuannya dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto turut menyentuh kesediaan Indonesia menerima bantuan Malaysia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu rentas sempadan. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 19 Sept (Bernama) -- Hubungan antara parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan kekal baik susulan keputusan Lembaga Pengampunan melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata dalam menguruskan hal ehwal kerajaan, semua pihak terus bertindak secara profesional dengan keputusan Jemaah Menteri dibuat secara kolektif.

“Hubungan tetap baik dan biarpun kami ahli-ahli politik, tetapi dalam menguruskan hal ehwal kerajaan, kita bertindak secara profesional, dan itu tidak ada sebarang masalah kerana semua keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri adalah keputusan yang dibuat secara kolektif.

“Hubungan peribadi setakat ini, Alhamdulillah, cukup baik dan sebagai anggota di dalam Kerajaan Perpaduan, prinsip ketatasusilaan itu tetap kami jaga selagi kami berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu yang diputuskan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, tertakluk pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata keputusan Lembaga Pengampunan berhubung Najib yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong adalah terikat dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang diputuskan Lembaga Pengampunan, yang diputuskan Yang di-Pertuan Agong adalah keputusan yang terikat dengan beberapa klausa di dalam Perlembagaan Malaysia, dan tentunya Tuanku telah mengambil perkiraan bahawa aspek perundangan menjadi panduan terhadap keputusan pengampunan.

“Jika mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan Tuanku Agong, ertinya ia tidak selari dengan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan, dan UMNO serta BN sendiri berpendirian bahawa undang-undang itu harus dipatuhi. Pendirian itu adalah jelas sebagaimana kenyataan-kenyataan yang pernah saya keluarkan sebelum ini,” katanya.

-- BERNAMA