Am 19/09/2026 04:18 PM

14 Bank Sudah Tawar Pembiayaan Sewa Beli Kaedah Baki Berkurangan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
14 Bank Sudah Tawar Pembiayaan Sewa Beli Kaedah Baki Berkurangan
kredit: FB Armizan Mohd Ali

BATU KAWAN, 19 Sept (Bernama) -- Sebanyak 14 daripada 20 institusi perbankan yang menyediakan pembiayaan sewa beli telah mula menawarkan Kaedah Pengurangan Baki setakat 18 Sept lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata berdasarkan sesi libat urus dengan institusi perbankan, baki enam bank lagi dijangka melengkapkan proses peralihan kepada kaedah baharu itu selewat-lewatnya 31 Dis depan.

“Secara keseluruhan terdapat 429 entiti terdiri daripada institusi perbankan dan syarikat penyedia sewa beli yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia (AHPCM),” katanya pada sidang media pada Majlis Perasmian Penutup Festival Pengguna (CONFEST) 2026 di Stadium Batu Kawan, di sini hari ini.

Beliau berkata menjelang akhir tahun ini, pihak kementerian menyasarkan 80 peratus penyedia sewa beli akan menawarkan pembiayaan dengan pematuhan di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026. 

Penyedia sewa beli yang belum bersedia sepenuhnya diberikan tempoh penyesuaian hingga 31 Mac 2027, manakala kewajipan pematuhan sepenuhnya akan bermula 1 April tahun depan.

Pindaan akta berkenaan yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lepas memperkenalkan kaedah baki berkurangan, dan Kadar Faedah Efektif untuk menggantikan kadar faedah tetap sama rata serta kaedah Peraturan 78 (Rule of 78).

“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus kepada pengguna,” katanya.

CONFEST 2026 dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari 17 hingga 20 Sept, bertemakan “Suara Kita: Kuasa Kita”. 

Acara kemuncak Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak, perlindungan dan tanggungjawab pengguna.

Program ini turut menghimpunkan penggerak advokasi kepenggunaan, agensi kerajaan dan NGO, dengan pelbagai aktiviti, termasuk pertandingan kepenggunaan, Fun Walk, Fun Run serta reruai agensi dan rakan strategik KPDN.

-- BERNAMA