KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Malaysia menilai cadangan pemindahan kapal ex-USCGC VALIANT dari Amerika Syarikat (AS) kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berpotensi memperkukuh keupayaan aset maritim dalam menghadapi keperluan operasi penguatkuasaan dan keselamatan di perairan negara.
APMM memaklumkan cadangan itu antara perkara utama yang dibincangkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Dr Awang Alik Jeman dengan Komandan United States Coast Guard (USCG) Admiral Kevin E. Lunday ketika lawatan kerja ke ibu pejabat USCG di Washington DC.
Lawatan atas jemputan kerajaan AS itu turut disertai Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah bersama-sama delegasi KDN dan APMM.
“Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada aspek kesesuaian, keperluan operasi serta manfaat strategik yang boleh diperoleh melalui cadangan berkenaan dalam memperkukuh keupayaan aset Maritim Malaysia (APMM),” menurut hantaran di Facebook APMM semalam.
Dalam pertemuan itu, Awang Alik menegaskan komitmen KDN untuk terus menyokong usaha memperkasakan keupayaan APMM melalui kerjasama strategik yang mampu meningkatkan kesiapsiagaan operasi, sekali gus memperkukuh keselamatan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM).
APMM menjelaskan Mohd Rosli pula merakamkan penghargaan kepada USCG atas hubungan kerjasama yang terjalin sekian lama, khususnya dalam pembangunan modal insan, latihan profesional, perkongsian kepakaran teknikal serta peningkatan keupayaan operasi yang memberikan manfaat kepada kedua-dua organisasi.
Sebagai sebahagian daripada proses penilaian, delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan teknikal ke Surface Acquisition Logistics Center (SALC) USCG di Baltimore bagi meninjau keadaan fizikal ex-USCGC VALIANT sebagai sebahagian daripada proses penilaian teknikal dan pertimbangan terhadap cadangan pemindahan aset tersebut.
Menurut hantaran itu, lawatan kerja berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan AS dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik dalam bidang keselamatan maritim, pembangunan kapasiti dan penguatkuasaan undang-undang di laut.
“Hubungan erat ini diyakini akan terus menyumbang kepada usaha memperkukuh keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” menurut APMM.
Dalam hantaran berasingan, APMM memaklumkan delegasi Malaysia diberikan taklimat komprehensif mengenai status serta kebolehupayaan kapal ex-USCGC VALIANT, meliputi sistem pendorongan dan jentera utama, jana kuasa, sistem navigasi dan komunikasi, sistem persenjataan, alat ganti serta pelbagai aspek teknikal dan logistik yang berkaitan.
Antara aspek yang dinilai termasuk tahap kesesuaian kapal itu bagi memenuhi keperluan pengoperasian APMM dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang, keselamatan maritim dan operasi mencari dan menyelamat.
“Lawatan turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai aspek pengoperasian, penyelenggaraan serta sokongan teknikal, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin antara APMM dan United States Coast Guard,” menurut hantaran itu.
Menurut APMM, usaha penilaian itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan keupayaan aset Maritim, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan operasi bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan maritim negara terus terpelihara.
-- BERNAMA