QINZHOU (China), 17 Sept (Bernama-CMG) -- Terusan Pinglu kini mula beroperasi secara rasmi selepas melalui proses pembinaan selama empat tahun, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan dan keterbukaan wilayah Guangxi dengan rantau ASEAN.
Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang berkata kejayaan projek berprofil tinggi itu berkait rapat dengan sokongan padu pelbagai jabatan dan masyarakat, serta kesungguhan dan ketekunan para pekerja yang terbabit dalam pembinaannya.
Ding berkata peluang daripada pengoperasian terusan itu perlu dimanfaatkan untuk mempercepat pembangunan pelabuhan di Teluk Beibu yang mempunyai akses ke pasaran global, meningkatkan tahap keterbukaan di wilayah barat China serta memberikan sumbangan lebih besar kepada pembentukan Paradigma Pembangunan Baharu.
"Presiden Xi Jinping amat mementingkan pembinaan Terusan Pinglu dan pernah memberikan arahan supaya terusan itu dibangunkan mengikut standard tinggi serta dijadikan projek berkualiti, mesra alam, berintegriti dan bebas rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perasmian operasi Terusan Pinglu di bandar Qinzhou, Wilayah Guangxi, pada Rabu.
Ding turut menaiki sebuah kapal untuk meninjau operasi terusan itu serta keadaan ekologi di sepanjang kedua-dua tebingnya.
Terusan Pinglu yang menghubungkan bandar Nanning dengan Teluk Beibu merupakan antara tunjang bagi Guangxi dalam memacu pembangunan maritim dan meningkatkan tahap keterbukaan menerusi laluan laut.
Terusan itu juga dijangka menyuntik momentum baharu kepada China dan negara-negara ASEAN dalam memperkukuh kesalinghubungan serta kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
-- BERNAMA-CMG