KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Solarvest Holdings Bhd menggesa kerajaan menangani dua keutamaan nasional yang semakin penting, iaitu kecerdasan buatan (AI) dan perkembangan pesat pusat data, selain pemodenan grid serta pendigitalan tenaga dalam Belanjawan 2027.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat tenaga bersih itu mencadangkan pemberian pengecualian fiskal dan cukai bagi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri yang digabungkan dengan program Solar Berskala Besar 6 (LSS6) dan program grid terbuka, selain melanjutkan Elaun Modal Dipercepatkan serta Elaun Cukai Pelaburan Hijau.
“Langkah ini berpotensi mengurangkan kos tenaga tersamar (levelised cost of energy) bagi tenaga bersih boleh dilaras dengan ketara, sekali gus menggalakkan pelaburan infrastruktur swasta serta mengurangkan kebergantungan kepada loji bahan api fosil yang digunakan ketika permintaan memuncak,” menurutnya.
Solarvest turut mencadangkan supaya rangka kerja Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat diperkasa, selain menyediakan insentif tenaga boleh baharu (TBB) khusus untuk pusat data berasaskan AI.
“Kerajaan wajar menambah baik caj akses grid dan menyediakan geran padanan cukai pusat data hijau bagi mengelakkan kesesakan grid, mengurangkan risiko pemerolehan TBB bagi pelabur asing serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital mampan,” menurut Solarvest.
Syarikat itu turut mencadangkan pemberian geran modal melalui dana padanan RM200 juta di bawah Dana Peralihan Tenaga Nasional bagi membangunkan platform pengurusan tenaga berasaskan AI, selain mewujudkan rangka kerja kawal selia percubaan (sandbox) di bawah Suruhanjaya Tenaga bagi teknologi kecerdasan tenaga dan loji kuasa maya.
“Langkah ini berpotensi membuka ruang kepada ‘negawatt’, iaitu tenaga yang dijimatkan melalui pengoptimuman berasaskan AI, serta mewujudkan ‘sistem pengoperasian’ bagi kecekapan tenaga nasional, sekali gus mengelakkan pembinaan kapasiti grid secara berlebihan yang menelan kos tinggi,” menurutnya.
Solarvest turut menggesa kerajaan memudah cara perdagangan melalui Grid Kuasa ASEAN (APG) dan menyediakan insentif eksport TBB rentas sempadan, memperluas Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS 4.0) dan Dana Pelaburan Hijau BPMB, selain memberikan pengecualian cukai ke atas pendapatan dividen tenaga bersih dari luar negara.
“Langkah ini berpotensi meletakkan pemaju TBB Malaysia sebagai peneraju di seluruh Asia Tenggara, sekali gus menjana kekayaan negara dan menyokong visi APG.
“Selain itu, kerajaan wajar melanjutkan potongan cukai berganda bagi syarikat yang melabur dalam makmal penyelidikan kerjasama universiti-industri, akademi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus serta program pensijilan AI-tenaga,” menurutnya.
Sementara itu, Solarvest memaklumkan ketika Malaysia membuat persediaan menghadapi Belanjawan 2027, tumpuan dasar perlu beralih daripada sekadar membina kapasiti penjanaan kepada membangunkan kecerdasan tenaga dan fleksibiliti grid yang diperlukan bagi menghadapi revolusi digital dan ekonomi seterusnya.
“Solarvest bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta pemegang taruh industri bagi melaksanakan inisiatif ini dan memastikan masa depan Malaysia yang mampan serta mencapai sifar bersih,” menurutnya.
-- BERNAMA