Am 17/09/2026 03:35 PM

AstraZeneca Malaysia, MSN Meterai Kerjasama Perkukuh Kesedaran aHUS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AstraZeneca Malaysia, MSN Meterai Kerjasama Perkukuh Kesedaran aHUS

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- AstraZeneca Malaysia dan Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) hari menandatangani memorandum persefahaman (MoU) selama dua tahun, bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi memperkukuh kesedaran dan pendidikan mengenai penyakit dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan, sekali gus membantu pengesanan awal, rujukan sewajarnya serta menggalakkan pendekatan penjagaan pelbagai disiplin.

Ia merupakan satu kerjasama untuk meneroka inisiatif yang berteraskan pesakit dan bukan bersifat promosi, berkaitan kesedaran mengenai “aHUS” serta laluan penjagaannya.

Presiden MSN Dr Rosnawati Yahya berkata aHUS merupakan sejenis penyakit jarang jumpa yang jika tidak dikesan dan dirawat di peringkat awal boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang yang teruk serta komplikasi kepada organ lain.  

“aHUS ialah sejenis keadaan yang serius dan jarang berlaku yang memerlukan pengesanan segera serta penjagaan khusus. Melalui kerjasama ini, MSN berhasrat untuk memperkukuh pendidikan dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan, rujukan yang sewajarnya serta menggalakkan pendekatan penjagaan pelbagai disiplin bagi pesakit aHUS,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata penyakit itu mungkin agak sukar dikenal pasti kerana simptomnya boleh muncul dalam pelbagai persekitaran penjagaan kesihatan, termasuk di jabatan kecemasan, wad perubatan dan wad obstetrik, dengan kehamilan antara faktor pencetusnya. 

“Pesakit mungkin menunjukkan tanda-tanda kecederaan buah pinggang, simptom neurologi atau gastrousus. Kepelbagaian bentuk manifestasi ini boleh menyukarkan pengesanan awal,” kata Dr Rosnawati.

Pakar nefrologi dengan lebih 30 tahun pengalaman itu, berkata kerjasama tersebut akan membolehkan MSN memberikan input klinikal dan pendidikan bagi membantu golongan profesional penjagaan kesihatan di barisan hadapan, mengenal pasti aHUS di peringkat awal serta memastikan pesakit dirujuk bagi mendapatkan rawatan pakar pelbagai disiplin.

Walaupun aHUS dikategorikan sebagai penyakit jarang jumpa, kesedaran mengenainya tetap penting kerana ia berpotensi membawa akibat yang lebih serius jika tidak dikesan awal. Di peringkat global, dianggarkan satu hingga dua kes baharu aHUS dilaporkan bagi setiap sejuta penduduk setiap tahun, manakala kira-kira dua hingga sembilan orang bagi setiap sejuta penduduk menghidap penyakit itu.

“Apabila golongan profesional penjagaan kesihatan di barisan hadapan mengenal pasti tanda amaran dan memulakan pemeriksaan yang sewajarnya, pesakit boleh dirujuk dan dinilai dengan lebih pantas. Kami mahu mengelakkan kelewatan yang boleh mengakibatkan kerosakan organ yang serius atau keperluan untuk rawatan intensif,” kata Dr Rosnawati.

Menerusi MoU tersebut, AstraZeneca Malaysia dan MSN akan meneroka inisiatif yang tertumpu kepada pendidikan profesional penjagaan kesihatan, kesedaran penyakit, pengesanan tepat pada masanya, rujukan yang sewajarnya serta penyelarasan penjagaan pelbagai disiplin.

Sementara itu, Presiden Negara AstraZeneca Malaysia Dr Svetlana Yanchuk berkata penyakit jarang jumpa sering memberikan beban yang ketara kepada pesakit, keluarga mereka, dan sistem penjagaan kesihatan, namun ia kurang mendapat perhatian disebabkan oleh kadar prevalens rendah.

Justeru, beliau berkata kerjasama itu bertujuan menyokong inisiatif praktikal berasaskan bukti bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai aHUS.

“Memandangkan risiko komplikasi buah pinggang dan organ lain yang serius berkaitan dengan aHUS, peningkatan kesedaran dan usaha menggalakkan pengesanan awal boleh membantu memastikan pesakit dirujuk kepada pakar yang sewajarnya, dinilai dengan segera, serta menerima rawatan yang diperlukan," katanya dalam kenyataan.

Komplikasi berkaitan buah pinggang, termasuk penyakit buah pinggang tahap akhir (ESRD) yang memerlukan dialisis, menyumbang menjadi cabaran besar kepada sistem penjagaan kesihatan. Perbelanjaan sektor awam bagi ESRD meningkat 94 peratus dalam tempoh 7 tahun, daripada RM572 juta pada 2010 kepada RM1.12 bilion pada 2016. Kos langsung dan tidak langsung yang berkaitan dengan dialisis juga diunjurkan meningkat daripada kira-kira RM1.5 bilion kepada RM4 bilion menjelang 2040.

Bagi pesakit aHUS, pengesanan awal, rujukan yang sewajarnya dan penilaian klinikal segera adalah penting untuk menyokong pengurusan penyakit mengikut kesesuaian dan membantu dalam mengekalkan fungsi buah pinggang serta mengurangkan risiko penyakit berkembang kepada ESRD yang memerlukan dialisis. Pengurangan risiko juga boleh membantu mengurangkan impak lebih besar dari segi peribadi, sosial dan ekonomi, terutamanya bagi kanak-kanak dan golongan yang berada dalam usia bekerja.

Profesor Perubatan dan Pakar Perunding Kanan Nefrologi Prof Dr Lim Soo Kun berkata aHUS merupakan satu keadaan yang kompleks, yang bukan sahaja menjejaskan buah pinggang malah darah, serta memerlukan pengurusan pelbagai disiplin melibatkan pakar nefrologi dan hematologi.

Beliau berkata doktor di barisan hadapan juga perlu peka terhadap keadaan tersebut memandangkan pesakit boleh menunjukkan simptom yang berbeza-beza dan hadir di pelbagai kemudahan kesihatan, termasuk klinik kesihatan dan hospital daerah

“Jika pesakit menunjukkan simptom berbeza yang mungkin menjurus kepada aHUS, pemeriksaan asas boleh dilakukan dan pesakit boleh dirujuk ke hospital yang lebih besar untuk penilaian lanjut. Bagaimanapun, jika keadaan ini tidak dikesan di peringkat barisan hadapan, pesakit mungkin terlepas peluang untuk mendapatkan penilaian pakar serta rujukan yang sewajarnya pada masa yang tepat,” katanya

Sementara itu, Mohd Nizrul, yang isteri dan anak perempuannya disahkan menghidap aHUS, berkata peningkatan kesedaran penting memandangkan banyak pesakit dan ahli keluarga masih kurang mengenali penyakit tersebut.

aHUS ialah penyakit serius jarang jumpa yang berpunca daripada ketidakseimbangan fungsi sistem komplemen. Ia boleh menyebabkan mikroangiopati trombotik serta merosakkan buah pinggang dan organ lain.

Kerjasama AstraZeneca Malaysia dan MSN itu berlangsung menjelang Hari Kesedaran aHUS pada 24 Sept, khusus bagi mengetengahkan kepentingan pengesanan awal, penilaian oleh pakar, dan penyelarasan penjagaan.

-- BERNAMA